GEORGETOWN: Seorang lelaki dengan 18 rekod lampau berkaitan kesalahan dadah antara tiga yang ditahan dipercayai anggota sindiket pengedaran dadah jenis heroin dan syabu di sini.
Kesemua lelaki warga tempatan berusia antara 38 hingga 47 tahun itu ditahan dalam dua serbuan di sekitar Seberang Perai Tengah (SPT) dekat sini yang mana polis turut merampas heroin dan syabu dengan nilai keseluruhan RM134,800.
Menurut Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) negeri, Asisten Komisioner Mustafa Kamal Gani Abdullah, tangkapan pertama dilakukan pada 23 November lalu selepas polis menyerbu sebuah rumah di Permatang Pauh dan menahan dua lelaki.
Dalam serbuan itu katanya, polis turut merampas 10 peket heroin seberat 171.35 gram (g) bernilai RM2,296; sembilan peket syabu seberat 13.25g (RM1,325) dan sembilan biji pil Eramin 5 (RM135).
Tambahnya, serbuan kedua pula dilakukan di tepi jalan di Bukit Tengah yang mana suspek ketiga berjaya ditahan bersama-sama satu peket plastik heroin seberat 457g bernilai RM6,124.
“Susulan penangkapan ketiga-tiga suspek itu membawa kepada serbuan di sebuah pangsapuri di Bukit Mertajam yang mana polis berjaya merampas sembilan peket heroin seberat 4.125 kilogram bernilai RM55,275 dan dua ketulan mampat heroin base seberat 750g bernilai RM69,645.
“Siasatan awal mendapati sindiket ini mula bergiat aktif mengedar dadah untuk pasaran di sekitar Seberang Perai sejak Jun tahun ini dan kita juga sudah mengenal pasti serta sedang giat mengesan saki baki ahli sindiket ini,” katanya dalam sidang akhbar di Ibu pejabat Polis Kontinjen (IPK) Pulau Pinang, di sini hari ini.
Menurut Mustafa Kamal Gani, ujian saringan air kencing ke atas ketiga-tiga suspek yang merupakan penganggur dan pemandu lori itu turut mendapati mereka positif methamphetamine dan morfin.
Tambahnya, polis turut menyita barang kemas Iaitu dua utas rantai leher dan dua bentuk cincin serta seutas gelang tangan yang bernilai kira-kira RM12,500 daripada kesemua suspek.
Ujar beliau, seorang suspek kini direman sehingga 29 November ini manakala dua lagi sehingga 30 November ini bagi membantu siasatan di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952. – UTUSAN