WASHINGTON: Pentadbiran Presiden Donald Trump pada Isnin mendedahkan siasatan kerajaan mendapati Universiti Harvard telah melanggar undang-undang hak sivil persekutuan kerana gagal menangani gangguan terhadap pelajar Yahudi dan Israel.
Pengumuman tersebut dijangka membuka laluan kepada tindakan lanjut terhadap universiti berprestij itu, yang sebelum ini sudah pun berdepan pembekuan dana penyelidikan persekutuan berjumlah berbilion dolar oleh pentadbiran Trump, sebagai sebahagian daripada kempen lebih besar terhadap Harvard dan beberapa universiti utama lain di seluruh Amerika Syarikat (AS).
Dalam satu notis rasmi, Pejabat Hak Sivil di bawah Jabatan Kesihatan dan Perkhidmatan Awam mendakwa Harvard bersikap “acuh tak acuh secara sengaja” terhadap diskriminasi ke atas pelajar Yahudi dan Israel, serta gagal memberikan respon yang mencukupi terhadap beberapa insiden gangguan yang dilaporkan.
“Sekiranya Harvard gagal melaksanakan perubahan segera yang mencukupi, semua bentuk pembiayaan persekutuan akan dihentikan,” demikian menurut sepucuk surat berasingan yang dihantar oleh peguam pentadbiran kepada Presiden Harvard, Alan Garber, dan dilihat oleh agensi berita Reuters.
Harvard dalam kenyataan balas berkata, pihaknya telah mengambil pelbagai langkah proaktif termasuk memperkemas proses tatatertib dan memperluas latihan kesedaran terhadap antisemitisme.
“Harvard sama sekali tidak bersikap tidak peduli terhadap isu ini dan kami tidak bersetuju dengan penemuan kerajaan,” jelas kenyataan itu.
Surat yang dikeluarkan pada Isnin itu merupakan episod terbaharu dalam siri tekanan yang dikenakan oleh Trump terhadap Harvard, universiti tertua dan terkaya di AS susulan penolakannya terhadap tuntutan-tuntutan drastik untuk mengubah operasi dalaman universiti berkenaan.
Antara tekanan dikenakan termasuk pembekuan kira-kira AS$2.5 bilion dalam bentuk geran penyelidikan, cubaan menyekat kemasukan pelajar antarabangsa, serta ugutan untuk menarik balik status pengecualian cukai universiti itu dan Harvard dilaporkan telah mengambil tindakan undang-undang terhadap tindakan-tindakan tersebut.
Pemotongan dana juga berlaku di agensi penyelidikan utama seperti Yayasan Sains Kebangsaan (NSF) dan Institut Kesihatan Kebangsaan (NIH), sekali gus menjejaskan geran yang selama ini disalurkan kepada universiti penyelidikan di seluruh negara.
Beberapa universiti lain turut menjadi sasaran kempen tekanan pentadbiran Trump di mana pada Jumaat lalu, Presiden Universiti Virginia, James Ryan, meletak jawatan selepas ditekan berhubung dasar kepelbagaian, ekuiti dan inklusi (DEI) di institusi tersebut disamping turut mengumumkan siasatan terhadap amalan pengambilan kakitangan di sistem Universiti California yang menempatkan hampir 300,000 pelajar bagi menentukan sama ada ia melanggar undang-undang anti-diskriminasi. -AGENSI










