[SIDANG DUN TERENGGANU] Denda hingga RM250,000 jual telur, ganggu penyu - Utusan Malaysia

[SIDANG DUN TERENGGANU] Denda hingga RM250,000 jual telur, ganggu penyu

PENJUALAN telur semua spesies penyu diharamkan di Terengganu berkuat kuasa Jun 2021. PUQTRA HAIRRY ROSLI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA TERENGGANU: Terengganu mengharamkan penjualan telur semua spesies penyu termasuk tuntung laut berkuat kuasa Jun tahun depan.

Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Asas Tani dan Pembangunan Desa negeri, Dr. Azman Ibrahim berkata, penguatkuasaan itu selaras Pindaan Enakmen Penyu 1951 yang diluluskan dalam Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) hari ini.

Katanya, mana-mana individu yang dikesan melakukan kesalahan berkenaan akan berdepan denda antara RM50,000 hingga RM250,000 atau penjara sehingga setahun atau kedua-duanya sekali.

Menurutnya, tindakan tegas itu bertujuan memastikan kesinambungan populasi penyu di Terengganu di samping mengelakkan eksploitasi reptilia marin berkenaan secara berleluasa terutama di pasaran terbuka dan e-dagang.

“Ini merupakan pindaan yang ketiga sejak 1951 kerana kita melihat seksyen sedia ada iaitu larangan penjualan hanya telur penyu belimbing tidak lagi relevan memandangkan spesies itu sudah tidak lagi mendarat di Terengganu.

“Kerajaan negeri turut menaikkan kadar penalti yang dahulunya RM3,000 dan penjara setahun kepada denda antara RM50,000 hingga RM250,000 atau penjara setahun bagi kesalahan menjual telur dan mengganggu penyu,” katanya kepada pemberita selepas Persidangan DUN di sini hari ini.

Azman berkata, menerusi enakmen itu kerajaan negeri juga akan menubuhkan Tabung Amanah Pemeliharaan Penyu bagi membantu mendapatkan sumber kewangan secara telus dalam usaha mengurus dan memulihara reptilia marin berkenaan.

Dalam perkembangan sama, katanya, pengharaman penjualan telur penyu di negeri ini tidak akan menjejaskan sumber ekonomi peniaga kerana kegiatan berkenaan dilakukan secara sampingan, malah rata-ratanya menyatakan kesediaan untuk menghentikan aktiviti tersebut.

“Telur penyu bukan makanan asasi di Terengganu dan larangan penjualannya tidak akan menjejaskan apa-apa kepada peniaga, penjual mahu pun pelanggan, jadi impaknya adalah sangat kecil kepada kehidupan rakyat berbanding kesan kerosakan kepada khazanah negeri yang berharga,” katanya.- UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya