GEORGETOWN: Ketua Menteri, Chow Kon Yeow diminta terus konsisten dengan pendirian untuk tidak membayar caj sumber air mentah setahun seperti dituntut Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md. Nor sebelum ini.
Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail (PKR-Pantai Jerejak) berkata, maklum balas yang diberikan oleh Kon Yeow terhadap permintaan Menteri Besar Kedah yang menyuarakan isu itu menerusi Facebook merupakan jawapan yang betul dalam konteks Pulau Pinang.
“Ketika majlis jamuan di Istana Negara, Menteri Besar Kedah kata dia ada jumpa Ketua Menteri tanya kenapa tidak mahu bayar duit air kepada Kedah.
“Kita minta Ketua Menteri kekal begitu, jangan bayar (caj air yang diminta Kedah) kerana jawapan itu betul,” katanya dalam sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Pulau Pinang di sini hari ini.
Sebelum ini, Muhammad Sanusi menuntut Perbadanan Bekalan Air Pulau Pinang Sdn. Bhd. (PBAPP) menjelaskan bayaran sumber air mentah sebanyak RM50 juta setahun.
Bagaimanapun, kerajaan Pulau Pinang tetap bertegas tidak akan membayar caj air mentah sebanyak RM50 juta setahun seperti dituntut Kedah.
Pada 24 November, Muhammad Sanusi sekali lagi menerusi Facebook membangkitkan perkara itu selepas memuatnaik gambar beliau bersama Kon Yeow dalam satu pertemuan di Istana Negara.
Namun, Kon Yeow ketika pertemuan itu menjawab Pulau Pinang tidak mampu membayarnya kerana hasil negeri itu tidak banyak.
Menurut Saifuddin, sebelum ini Pulau Pinang telah mengemukakan cadangan mengenai penubuhan Lembaga Lembangan Ulu Muda (LLUM) untuk menguruskan Ulu Muda secara profesional dan lestari sebagai kawasan tadahan air terpenting di Wilayah Ekonomi Koridor Utara (NCER).
“Tiga negeri di wilayah NCER telah menyumbang Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) sebanyak RM150 bilion dan Kerajaan Pusat mengutip cukai sebanyak RM18 bilion daripada jumlah ini.
“Jadi kalau Kedah mahu menuntut sebarang caj bayaran air, kita sokong jika Kedah tuntut daripada kerajaan Pusat menerusi cukai yang dikutip ini, bukan daripada Pulau Pinang,” katanya. -UTUSAN ONLINE










