GEORGETOWN: Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP) menggesa pihak berkuasa berkenaan menyiasat segera video seorang kanak-kanak yang dilihat bermain dan memanjat beranda sebuah unit rumah pangsapuri yang videonya tular di laman sosial.
Presidennya, Mohideen Abdul Kader berkata, Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) juga perlu menjelaskan apakah langkah yang telah diambil bagi mengelak kemalangan melibatkan kanak-kanak yang terjatuh dari beranda pangsapuri.
Menurut beliau, KPKT pada 2018 pernah memaklumkan akan mengkaji pelaksanaan langkah keselamatan baharu di bangunan bertingkat selepas beberapa tragedi maut membabitkan kanak-kanak terjatuh dari tingkat atas bangunan.
Menurut menterinya ketika itu tambah beliau, Undang-undang Kecil Bangunan Seragam 1984 (UBBL 1984) telah menetapkan pagar beranda (bangunan bertingkat) tidak boleh kurang dari satu meter tinggi.
Selain itu jelasnya, KPKT ketika itu juga tidak mahu rumah dirasakan seperti penjara (dengan membuat pagar terlalu tinggi), justeru akan menilai semula struktur untuk melihat sama ada spesifikasi itu perlu diubah.
“Sejak 2018 sehingga kini, apakah langkah yang telah diambil KPKT dalam menangani kemalangan seperti ini?
“Kita percaya untuk mengelakkan sebarang tragedi yang melibatkan kanak-kanak dan beranda daripada berlaku, langkah keselamatan mestilah disepadukan ke dalam struktur bangunan itu sendiri,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
Tambah beliau, kerajaan perlu menerima realiti akan sentiasa ada keluarga yang mempunyai anak kecil yang tinggal di bangunan bertingkat seperti rumah pangsa kerana kekangan kewangan.
Katanya, kerajaan juga perlu memahami bahawa ibu bapa tidak boleh memerhati anak-anak mereka sepanjang masa dan kanak-kanak yang sentiasa ingin tahu tentang sesuatu perkara tidak akan sentiasa mendengar dan mematuhi ibu bapa mereka tentang perkara-perkara yang mereka telah diberitahu untuk tidak lakukan.










