Semangat biru kuasai PRN Melaka-Bung Moktar - Utusan Malaysia

Semangat biru kuasai PRN Melaka-Bung Moktar

BUNG Moktar (dua kanan) semasa tiba bagi merasmikan mesyuarat UMNO cawangan Kampung Sembok, Melaka semalam.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MELAKA: Sokongan rakyat terhadap calon-calon Barisan Nasional (BN) di negeri ini dilihat amat baik dan cukup untuk memberi gambaran bahawa ‘semangat biru’ sudah membanjiri Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka.

Pengerusi BN Sabah, Datuk Seri Bung Moktar Radin berkata, situasi ini akan membolehkan BN memenangi PRN kali ini.

Beliau berkata, sekiranya BN boleh memenangi PRN ini, ia sudah akan memberi impak positif kepada rakyat Melaka.

“Jika dilihat jentera-jentera parti cukup komited membantu calon-calon PRN untuk memastikan BN memperoleh keputusan yang bermakna dalam PRN Melaka kali ini,” katanya selepas merasmikan mesyuarat UMNO cawangan Kampung Sembok di kawasan DUN Duyong semalam.

Justeru, Bung Moktar mengingatkan jentera BN supaya terus bersemangat tinggi sehingga hari mengundi biarpun terpaksa berhadapan dengan prosedur operasi standard (SOP) PRN yang ketat.

Hadir sama ialah calon BN bagi Dewan Undangan Negeri (DUN) Duyong, Mohd Noor Helmy Abdul Halem.

“Apabila kembali ke cawangan dan kawasan masing-masing dengan semangat biru, kita harus berikrar untuk memperkukuhkan jentera di DUN dan Pusat Daerah Mengundi (PDM).

“Seiring itu, semua pemimpin dari seluruh negara termasuk jentera UMNO Sabah akan terus membantu calon-calon BN bagi memastikan kemenangan berpihak kepada BN,” katanya.

Jelas beliau, jentera parti akan terus digerakkan sehingga 20 November ini menerusi kempen yang bersesuaian dengan SOP ditetapkan.

Bung Moktar turut menghadiri mesyuarat UMNO cawangan Telok Mas yang disempurnakan oleh Timbalan Presiden UMNO Datuk Seri Mohamad Hassan dan dihadiri oleh Ketua UMNO Bahagian Kota Melaka yang juga calon BN DUN Telok Mas, Datuk Abdul Razak Abdul Rahman. -UTUSAN ONLINE

 

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN