PETALING JAYA: Kerajaan perlu menyelaraskan sepenuhnya semua kontrak sedia ada sebaik sahaja arahan Perintah Gaji Minimum Baharu dilaksanakan.
Presiden Persatuan Industri Keselamatan Malaysia (PIKM), Datuk Seri Ramli Yusuff berkata, kerajaan juga perlu membuat bayaran mengikut kadar pelarasan kontrak terbaru pada bulan pertama arahan Perintah Gaji Minimum diwartakan.
Katanya, ini kerana syarikat perlu menanggung peningkatan kos sekiranya Perintah Gaji Minimum Baharu dilaksanakan.
“Ingin ditegaskan, peningkatan gaji minimum sebagai contoh dari RM1,100 ke RM 1,200 (Februari 2020), bukan bermaksud kos yang perlu ditanggung kontraktor hanya meningkat RM 100.
“Turut wujud tambahan lain sebanyak RM400 yang meliputi bayaran kerja lebih masa, kadar caruman Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP), Pertubuhan Kesihatan Sosial (Perkeso), insuran dan kos-kos lain mengikut arahan gaji minimum terkini.
“Kebanyakan kementerian juga dilihat tidak membuat pelarasan harga kontrak mengikut warta gaji minimum terbaharu dengan alasan kontrak semasa masih aktif. Walaupun pada dasarnya, kontrak kerajaan tersebut ditandatangani mengikut takuk gaji minimum dan belanjawan perbendaharaan yang lama. Hanya Kementerian Pendidikan dilihat serius membuat pelarasan harga kontrak mengikut ketetapan Perintah Gaji Minimum semasa,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Beliau mengulas kenyataan Timbalan Menteri Sumber Manusia, Datuk Awang Hashim baru-baru ini berhubung Perintah Gaji Minimum Baharu yang dijangka diumumkan tahun hadapan sebaik sahaja perbincangan tersebut selesai akhir tahun ini.
Dalam pada itu, Ramli berkata, sekiranya kerajaan tidak bersedia membuat pelarasan harga kontrak mengikut tempoh ketika diwartakan Perintah Gaji Minimum Baharu, kerajaan harus membenarkan syarikat mengeluarkan kos mengikut tangga gaji lama.
“Hanya selepas pelarasan dibuat dan satu kontrak terbaharu termeterai, syarikat diwajibkan mengikut arahan erkini. Cara ini dilihat lebih adil bukan sahaja untuk industri ini, tetapi untuk industri lain secara keseluruhannya.
“Ia juga memudahkan Kementerian Sumber Manusia untuk membuat semakan pematuhan menerusi kontrak terbaharu yang telah ditandatangani oleh kerajaan dan kontraktor,” jelasnya. – UTUSAN ONLINE