PUTRAJAYA: Kerajaan digesa mempercepatkan proses kemasukan pengawal asing untuk Industri keselamatan terutama dari Bangladesh, Indonesia dan Filipina.
Setiausaha Agung Pertubuhan Kebangsaan Agensi Perkhidmatan Swasta Malaysia (PAPSMA), Dr. Sukumaran Nair berkata, kelulusan kerajaan bagi kemasukan pekerja asing dari tiga negara sumber itu disokong penuh sebagai permulaan untuk mengisi kekosongan segera industri berkenaan.
Katanya, langkah kerajaan melalui Kementerian Dalam Negeri itu sekali gus memberi nafas baharu kepada majikan pengawal keselamatan di seluruh negara terutama sektor swasta.
“Kita memahami satu kajian sedang dilakukan kementerian bagi memastikan semua faktor diambil kira terutama kepentingan keselamatan negara sebelum keputusan muktamad dibuat untuk pengambilan itu.
“Syarikat keselamatan swasta yang dilesenkan di bawah Akta Agensi swasta 1971 amat memerlukan sumber tenaga asing ini untuk memenuhi beribu-ribu kekosongan jawatan terutama di sektor swasta,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Sebelum ini, Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hamzah Zainudin memberitahu, kerajaan sedang merancang menjadikan Bangladesh, Indonesia dan Filipina sebagai negara sumber tenaga kerja bagi memenuhi kekosongan dalam sektor perkhidmatan pengawal keselamatan.
Jelas Hamzah, perkara itu dikaji secara terperinci terlebih dahulu sebelum sebarang keputusan dibuat dan kementeriannya akan mengadakan perbincangan lanjut dengan pemegang taruh bagi memastikan tiada isu atau masalah timbul mengenainya nanti.
Menurut Sukumaran, memandangkan pengawal keselamatan dianggap berada di bawah kategori 3D iaitu berbahaya, sukar dan kotor, penduduk tempatan tidak menunjukkan minat memenuhi kekosongan jawatan itu biarpun industri berkenaan memberikan potensi ekonomi besar untuk negara.
Katanya, pada masa ini, negara mempunyai 145,009 pengawal keselamatan tempatan berdaftar yang terdiri daripada 82 peratus dan 32,318 pengawal Nepal asing yang berjumlah 18 peratus.
Beliau menjelaskan, industri itu mempunyai kekosongan kira-kira 120,000 pengawal dan dijangka jumlah kekosongan bertambah sehingga 500,000 secara keseluruhan menjelang 2030.
“Kegagalan memenuhi kekosongan jawatan ini mengakibatkan peningkatan jenayah di semua taman perumahan dan kondominium.
“Ini termasuk industri pembuatan beralih ke negara lain yang boleh menyediakan aspek keselamatan mengakibatkan Malaysia kehilangan potensinya dalam industri pembuatan dan pengeluaran,” katanya. – UTUSAN ONLINE