Sayur naik harga kerana hujan dan sejuk melampau

Hujan, cuaca sejuk melampau punca sayur naik harga

ANGGOTA penguat kuasa KPDNHEP Melaka melakukan tinjauan di sekitar Melaka.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MELAKA: Harga pasaran sayur di negeri ini terus meningkat mencecah lebih separuh harga susulan bekalan makanan import itu berkurangan akibat perubahan cuaca pada musim tengkujuh dan kos pengangkutan. 

Pengarah Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) negeri, Norena Jaafar berkata, hasil tinjauan dilaksanakan penguat kuasa mendapati, beberapa jenis sayuran mengalami peningkatan harga sehingga 50 peratus. 

Ujarnya, antara sayur yang meningkat harga ialah brokoli, cili merah, sawi dan kobis dengan anggaran kenaikan antara RM2 sehingga RM4 sekilogram. 

“Hasil pemantauan dijalankan mendapati berlaku kenaikan harga jualan sayur-sayuran yang disebabkan beberapa faktor termasuk bekalan import yang berkurangan sehingga 60 peratus ketika ini.

“Cuaca hujan pada musim tengkujuh dan sejuk melampau dialami oleh negara pengeluar serta kenaikan kos pengangkutan juga menyumbang kepada kenaikan harga sayuran yang mencecah 50 peratus,” katanya dalam kenyataan hari ini. 

Mengulas lanjut, beliau memberitahu, hampir 60 peratus bekalan sayur bagi negeri ini diperoleh dari negeri lain.

“Bekalan dalam negara kebanyakannya diperoleh dari Selangor, Pahang, Johor dan Negeri Sembilan.

“Antara faktor lain diambil kira adalah pembukaan semula semua sektor perdagangan sejak Oktober lalu yang secara tidak langsung menyebabkan berlaku peningkatan permintaan terhadap bekalan sayuran secara mendadak,” katanya. 

Dalam pada itu, Norena memberitahu, pihaknya juga maklum mengenai isu kekurangan bekalan minyak masak peket di pasaran.

“Hasil pemeriksaan yang dijalankan mendapati terdapat beberapa pemborong dan juga peniaga runcit di negeri ini gagal memperbaharui lesen menjual minyak masak.

“Disebabkan itu proses pengedaran minyak masak peket ini terganggu. KPDNHEP Melaka akan mengadakan mesyuarat bersama semua pemegang lesen minyak masak di negeri ini pada minggu hadapan bagi memastikan gangguan pengedaran ini dapat diselesaikan,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN