Realiti kehidupan, ia penuh dengan onak duri dan asam garam dalam meniti hari-hari yang mendatang.
Seperti seorang penyanyi, walaupun sudah ada nama dalam industri ini tetap punyai cabaran tertentu yang harus ditelan walaupun perit.
Menurut Ratu Etnik Kreatif ini, hatinya sedikit tersentuh apabila hasratnya ingin berkolaborasi dengan beberapa artis ditolak atas alasan tertentu.
Biarpun sedikit terasa dengan tindakan itu , Noraniza Idris yang lebih disapa Kak Ani akur dan berlapang dada dengan keputusan mereka.
Dedahnya, ramai artis muda yang boleh diharapkan untuk menerajui genre irama Malaysia ini, tetapi mereka tidak mahu berkolaborasi dengannya.
“Ada beberapa nama artis yang pernah ditawarkan untuk bekerjasama, tetapi ditolak. Mungkin juga disebabkan kekangan masa mereka dan ada perancangan sendiri.
“Saya tidak rasa kecil hati pun, cuma sedikit terasa.
“Saya cuma bersangka baik walaupun tersentuh. Jadi, saya pun sedar diri siapalah saya. Tidak mengapa, dunia ini seperti roda,” luahnya.
Bagaikan satu sarkastik, penyanyi lagu popular Ngajat Tampi itu menyifatkan penyanyi yang mempunyai jutaan pengikut di media sosial ‘agak’ sukar untuk bekerjasama.
“Bagaimanapun, penyanyi baharu okey, tetapi penyanyi yang sudah ada nama ini susah sedikit.
“Kalau pengikutnya berjuta di media sosial, kau janganlah nak berangan nak bekerjasama dengan mereka,” katanya.
Genre ini satu syarat sahaja?
Irama Malaysia bagaikan kelihatan sudah ‘samar’ dalam industri muzik tanah air. Malah boleh kira dengan jari sahaja penyanyi yang masih ‘bernafas’ dalam genre ini.
Pentas Anugerah Juara Lagu (AJL) kini pun dilihat sudah tiada lagi meletakkan satu kategori khas untuk pencalonan genre ini, seperti dahulu.
Adakah ia hanya syarat semata? Justeru, penyanyi lagu terkenal Dikir Puteri itu mengakui masih lagi tidak nampak matlamat genre berkenaan di pentas anugerah berprestij itu.
Bagaimanapun, penyanyi legenda itu menitipkan rasa syukur dan gembira jika lagu terbaharunya bersama penyanyi Bunga yang berjudul Intan Payung, mendapat tempat di pentas AJL, pada kali ini.
“Sekarang ini susah sebenarnya, Kak Ani pun tidak nampak matlamat etnik Irama Malaysia berada di pentas AJL, adakah syarat sahaja atau sebaliknya.
“Saya juga berasa bimbang jika ia diletakkan sebagai ‘janji ada’, saya tidak suka dan sedih.
“Bagaimanapun, jika lagu itu berada di kedudukan dalam carta lima, saya turut tumpang gembira,” ujarnya panjang.
TERUSKAN PERJUANGAN
Sedar lagu irama Malaysia semakin dipinggirkan, Noraniza Idris berhasrat mahu menubuhkan satu pertubuhan yang menghimpunkan artis dalam genre ini di bawah satu payung.
Walaupun sudah berdekad dalam industri ini, ia bukan penghalang untuk penyanyi lagu Awallah Dondang ini bangkit memperjuangkan genre ini serta bekerja keras supaya tidak ‘mati’ begitu sahaja.
“Saya perlu berusaha sendiri dalam industri ini. Sebab itu saya berbincang untuk mewujudkan Pertubuhan Industri Penerbitan dan Artis Rakaman Malaysia ini. Fokusnya untuk irama Malaysia. Tetapi kini masih menunggu proses kelulusan.
“Sebelum ini saya pernah menyuarakan pelbagai isu dengan persatuan-persatuan sedia ada tetapi tidak nampak perkembangannya. Jadi, biarlah saya sahaja buat pertubuhan ini.
“Bangunkan sendiri dengan bimbingan dan penasihat pihak tertentu untuk membantu saya bagi merealisasikan Anugerah Irama Malaysia pada suatu hari nanti,” katanya ketika ditemu bual.
Berazam merealisasikan hasrat itu tahun hadapan, dia mengenggam satu harapan agar dapat memartabatkan lagi genre yang tak boleh pupus di nusantara ini.
“Pihak terbabit bukan tidak mengambil berat tetapi seperti tiada kesudahan. Mereka membantu seperti tidak nampak matlamat.
“Jadi, saya terpaksa bekerja seperti ini kerana memang matlamat saya pada tahun ini untuk merealisasikan pada 2022, bila saya dah sebut itu saya akan buat. Insya-Allah.
“Jika saya dah ada sahaja pertubuhan itu, saya nak bekerja keras untuk menaikkan lagi Irama Malaysia ini,” tuturnya dengan penuh tekad.
Tambahnya, insiatif ini sedikit sebanyak dapat membantu para artis Irama Malaysia bernafas semula di kala era pandemik Covid-19 ini.
“Lagipun, kebanyakan artis irama Malaysia sudah mengangkat bendera putih di kala pandemik ini. Wang itu seperti bukit, semakin rendah selepas ditarah.
“Bagaimanapun, hidup perlu diteruskan namun terpaksa ‘memberontak’ dengan cara seperti inilah. Yang penting hak dan kebajikan artis irama Malaysia terjaga,” ujarnya.










