Sarawak bakal menjadi pembekal gas hidrogen terbesar di Asia Tenggara - Utusan Malaysia

Sarawak bakal menjadi pembekal gas hidrogen terbesar di Asia Tenggara

Abang Johari Tun Openg (kanan) mendengar penerangan mengenai lokasi Stesen Pelbagai Bahan Api Petros daripada Pengerusi SEDC, Tan Sri Abdul Aziz Husain pada majlis pecah tanah pembinaan stesen Petros di Bandar MJC, Batu Kawa, hari ini.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUCHING: Sarawak akan menjadi pengeluar dan pembekal gas hidrogen utama di Asia Tenggara apabila projek pengeluaran gas tersebut yang diterajui Perbadanan Pembangunan Ekonomi Sarawak (SEDC) meletakkan sasaran untuk menghasilkan 10,000 tan setahun bagi tempoh 2023-2025.

Ketua Menteri Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg berkata, Sarawak mempunyai keupayaan untuk mengeluar dan membekal has hidrogen kerana mempunyai banyak sungai  iaitu air sungai berkenaan boleh diproses untuk dijadikan gas hidrogen untuk kegunaan kenderaan.

Ujarnya, Sarawak juga mempunyai empat empangan, iaitu Batang Ai, Bakun, Murum dan Baleh untuk sumber air yang boleh diproses dengan proses hidroelektrik.

“Ini menggambarkan kita mempunyai visi jangka panjang kerana dalam masa yang sama dapat dapat memelihara kebersihan alam sekitar kita kerana kita dapat mengurangkan pembebasan karbon.

“Ini adalah isu dunia dan bagi kita di Sarawak kita sudah ada wawasan bagaimana hendak menguruskan alam sekitar kita dan di bawah program strategi pemulihan pasca Covid-19, kerajaan tekankan mengenai kelestarian alam,” katanya.

Beliau menyatakan demikian dalam sidang media selepas melancarkan acara pecah tanah bagi pembinaan Stesen Pelbagai Bahan Api Petros (Petros Multifuel Station) di Bandar MJC, Batu Kawa di sini hari ini.

Pada majlis itu beliau turut diberi taklimat mengenai stesen bahan api berkenaan oleh Pengerusi SEDC Tan Sri Abdul Aziz Husain.

Beliau berkata, beberapa syarikat daripada Korea, Jepun dan Australia telah menandatangani kerjasama dengan kerajaan Sarawak untuk melabur dalam sektor pengeluaran gas hidrogen di negeri inii.

“Ini bermakna kita sudah berada di landasan yang tepat dan visi kita adalah untuk menjadikan Sarawak sebagai pengeluaran gas hidrogen utama di rantau ini,” tambah beliau.

Beliau berkata, selain menjana elektrik hidro, empangan yang dibina di negeri ini juga boleh dibangun untuk mengeluarkan hidrogen dan menghasilkan tenaga melalui panel solar terapung.

Menurut Abang Johari, kos bagi melaksanakan projek berkenaan pada mulanya adalah tinggi tetapi beliau menjangka dalam tempoh lima hingga 10 tahun selepas itu, kosnya akan menjadi lebih murah.

Sementara itu, beliau berkata, dalam jangka masa panjang,  Stesen Pelbagai Bahan Aapi Petros akan dibina di seluruh negeri, bermula di Sibu, Miri, Bintulu dan Sri Aman, diikuti di sepanjang Lebuh Raya Pan Borneo dan Lebuh Raya Pesisir Pantai Sarawak.

Katanya, stesen yang pertama hampir siap dibina di Darul Hana, Petra Jaya dan dijangka beroperasi tidak lama lagi.- UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN