JEMPOL: Seorang kontraktor kutipan kelapa sawit di sebuah ladang di Bahau dekat sini mengalami kerugian hampir RM100,000 selepas terpedaya dengan tawaran kerja dalam talian pada 6 November lalu.
Ketua Polis Daerah Jempol, Superintenden Hoo Chang Hook berkata, pengadu merupakan seorang lelaki berusia 21 tahun itu pada mulanya melayari akaun Facebook iaitu Cyetest9 sebelum menekan nombor telefon yang terdapat di Facebook dan berhubung dengan pemilik nombor telefon 014-2370981 menerusi WhatsApp.
“Individu tersebut mengajak pengadu menyertai pekerjaan yang menawarkan pendapatan lumayan dan mangsa diberikan satu pautan dan diminta memuat naik aplikasi Amazon Go. Pengadu kemudian memasang aplikasi tersebut di telefon bimbitnya.
“Pada tarikh yang sama, pengadu mula bekerja yang ditawarkan tersebut iaitu untuk membeli barang yang diiklan di dalam aplikasi berkenaan dan bayaran dibuat kepada ejen khidmat pelanggan yang dihubungi menerusi WhatsApp bernombor 011-21783776.
“Setiap barang yang dibeli, pengadu akan berurusan dengan ejen khidmat pelanggan itu dan bayaran dilakukan ke akaun-akaun yang dinyatakan oleh ejen berkenaan,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Menurut Chang Hook, selesai membuat pembayaran, pengadu memberitahu dia dijanjikan akan menerima mata di dalam aplikasi tersebut dan ia adalah komisen yang diterima untuk kerja-kerja yang dilakukan itu.
“Pengadu diminta melakukan 60 kali kerja pembelian barangan yang ditetapkan kepadanya dan dia selesai melakukan 60 kali pembelian barangan tersebut. Pengadu dimaklumkan wang yang pengadu akan diterima adalah sebanyak RM147,433 dan sedang diproses untuk dimasukkan ke dalam akaun bank miliknya.
“Ejen khidmat pelanggan itu memaklumkan mangsa perlu membuat pembayaran sebanyak RM20,000 untuk bayaran proses bagi mendapatkan jumlah wang tersebut.
“Pengadu mengesyaki telah ditipu dalam urusan kerja tersebut dan sehingga kini dia tidak mendapat apa-apa pulangan dengan kerja pembelian barangan yang telah dilakukannya,” katanya.
Chang Hook menambah, pengadu melakukan 24 kali transaksi kewangan kepada tiga akaun bank milik tiga penama iaitu Elwis Anak Nyatan, Andrew Anak Anthony dan Andrew Anak Michel bermula 6 sehingga 8 November lalu dengan nilai keseluruhan berjumlah RM99,855.
“Didapati pengadu terpedaya dalam urusan tipu tawaran kerja secara dalam talian. Semakan pada Commercial Crime Intelligence System (CCIS) terhadap akaun berkenaan telah ada rekod penjenayahan penipuan tawaran kerja secara dalam talian dan siasatan lanjut masih dijalankan,” kata Chang Hook.










