Remaja perempuan 16 tahun diserah kepada JKM - Utusan Malaysia

Remaja perempuan 16 tahun diserah kepada JKM

Senjata
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Mahkamah Juvenil di sini hari ini memerintahkan seorang remaja perempuan berusia 16 tahun iaitu anak angkat kepada pemilik Rumah Bonda, Siti Bainun Ahd Razali diserahkan di bawah jagaan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM).

Majistret Nur Farahain Roslan memutuskan demikian selepas mendengar keterangan saksi-saksi dan penghujahan peguam-peguam yang mewakili pemohon dan responden dalam permohonan tersebut.

Peguam Megat Syazlee Mokhtarom yang mewakili ibu remaja perempuan itu ketika ditemui pihak media selepas prosiding kes berkata, remaja berkenaan akan ditempatkan di Rumah Kanak-Kanak (RKK) Rembau, Negeri Sembilan sehingga berusia 18 tahun.

Sementara itu, peguam Nur’Aminahtul Mardiah Mohd. Nor yang mewakili Siti Bainun ketika ditemui berkata, anak guamnya tidak membantah agar remaja itu diserahkan di bawah penjagaan JKM.

“Dalam prosiding hari ini, anak guam saya telah membaca pernyataan untuk direkodkan oleh mahkamah yang menyatakan mana-mana pihak yang menjaga remaja itu perlu memastikan keselamatan, kesihatan dan pendidikannya dengan baik,” katannya.

Menurutnya, mahkamah kemudian menetapkan 1 Disember ini untuk mendengar dua lagi permohonan hak penjagaan di bawah jagaan Siti Bainun.

Pada 2 November lalu, mahkamah sama memerintahkan seorang kanak-kanak lelaki warga tempatan berusia dua tahun yang merupakan anak angkat Siti Bainun diserahkan kepada ibu kandungnya.

Mahkamah membuat keputusan itu, selepas meneliti laporan yang disediakan oleh pegawai pelindung Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) agar hak penjagaan bagi kanak-kanak berkenaan diberikan semula kepada ibu kandungnya.

Meskipun hak penjagaan itu diberikan kepada ibu kanak-kanak itu, wanita tersebut terikat dengan tempoh pengawasan pihak JKM selama tempoh dua tahun.

Pada 28 Oktober lalu, mahkamah sama turut memerintahkan seorang kanak-kanak perempuan warga Indonesia berusia tiga tahun yang merupakan anak angkat pemilik Rumah Bonda itu diserahkan kepada JKM.

Ia berikutan mahkamah menolak permohonan Siti Bainun selaku pemohon untuk membatalkan perintah jagaan JKM terhadap kanak-kanak tersebut.

Siti Bainun, 29,  dan empat lagi ibu kandung kepada anak angkatnya itu memfailkan permohonan hak penjagaan tersebut pada 2 Ogos lalu dengan menamakan JKM Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur sebagai responden.

Permohonan tersebut adalah untuk pembatalan perintah interim yang diberikan kepada JKM kerana tidak mematuhi keperluan di bawah Seksyen 30(10) Akta Kanak-Kanak 2001.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya