Tidak seperti artis lain, penyanyi Red Rahimad mungkin masih asing lagi dalam kalangan peminat dan pencinta muzik tanah air.
Namun, itu bukan penghalang buat anak muda berusia 21 tahun ini untuk terus mengorak langkah dalam bidang diceburi.
Bagi Red Rahimad atau nama sebenarnya Muhammad Redha Rahimad, apa yang penting bagi dirinya adalah usaha dan kerja keras. Malah, dia juga yakin jika bakat yang dimiliki tidak boleh dipendam begitu saja.
Siapa sangka, selain boleh menyanyi dengan baik, Red Rahimad juga sudah bergelar singer- songwriter dan turut menghasilkan sendiri lagu nyanyiannya serta turut mencipta lagu buat beberapa penyanyi lain.
Selepas melancarkan single Cahaya Ramadan lalu, terbaharu Red Rahimad muncul dengan single kedua di bawah syarikat rakaman COF Music iaitu Celup dan sekali lagi berkolaborasi bersama penyanyi Ezad Lazim.
Red Rahimad yang juga pencipta sepenuhnya lagu Celup berkata, dia bertuah kerana Ezad menerima tawaran berkenaan selain menyifatkan kolaborasi mereka sebagai satu rezeki.
“Saya dapat berikan kepercayaan pada Abang Ezad untuk featuring bersama dalam lagu ini.
“Sebab saya tahu suara Abang Ezad sedap. Lagi pula kami pernah bekerja sekali dalam lagu yang saya tulis sendiri iaitu Cahaya yang dilancarkan pada Ramadan lalu.
“Ketika itu saya berborak mengenai lagu Celup ini. Saya dengar dia bawa live depan saya, terus jatuh hati dengan suara dia. Jadi saya minta dia bekerjasama dalam lagu ini,” katanya.
REZEKI DUET
Menurut Red Rahimad tidak timbul soal Ezad lebih menyerlah berbanding dirinya kerana masing-masing ada pembahagian dalam lagu Celup itu.
“Bagi saya, kalau berkolaborasi dengan sesiapa pun pasti akan berasa macam ini. Sebab mesti orang nak dengar mereka kan. Kita nak bergandingan dengan mana-mana penyanyi mestilah mereka pun ada latar belakang dan ada peminat tersendiri.
“Bagi saya dapat berkolaborasi dengan Abang Ezad adalah rezeki. Ini adalah kolaborasi kedua kami.
“Jadi, jika rezeki nak datang, kalau kata overshadow mungkin dari situ ia berubah kepada peminat akan tertanya-tanya siapa Red Rahimad ni? Kenapa Ezad Lazim nak kolabrasi dengan dia?
“Daripada situ mereka akan buat semakan siapa komposer, penulis lirik. Kalau bagus, baguslah. Kalau ada kekurangan mereka boleh tegur.
“Suara dan kritikan netizen pun adakalanya membantu dari segi proses menambah baik dalam penghasilan lagu selepas ini. Tapi dalam lagu ini saya ada juga letak strategi yang mana orang pun nak dengar bahagian saya selain Abang Ezad saja,” katanya.
Berkongsi lanjut mengenai lagu Celup, menurut Red Rahimad ia sudah disiapkan sejak Januari tahun lalu. Ini bermakna dia mengambil masa lebih setahun untuk dilancarkan.
“Lagu ini saya rakam demo sendiri sebelum bergabung dengan COF Music. Kiranya lebih setahun juga lagu ini disimpan sebelum dapat dilancarkan,” katanya.