PUTRAJAYA: Kadar kefasihan rakyat negara ini bertutur dalam bahasa Inggeris sepanjang tahun lalu menunjukkan peningkatan berbanding data tahun sebelumnya.
Demikian rumusan laporan disiarkan menerusi Indeks Kecekapan Bahasa Inggeris (EPI) 2021 diterbitkan firma pendidikan antarabangsa ternama, EF Education First kelmarin.
Berdasarkan senarai baharu tersebut, Malaysia kini berada pada tangga ke-28 dengan 562 mata iaitu tahap ‘kemahiran tinggi’ bersama-sama dalam kelompok 17 buah negara lain.
Kedudukan itu lebih baik berbanding indeks 2020 yang mengukur pencapaian sepanjang 2019 apabila negara cuma di tangga ke-30 dengan 547 mata dalam kelompok ‘sederhana mahir’.
Laporan terkini itu diperoleh hasil kajian EF yang ditubuhkan sejak 1965 serta berpusat di Switzerland dengan data ujian melibatkan sejumlah dua juta peserta dari 112 negara dan wilayah.
Hasil analisis berkenaan, ia mendapati penduduk di Eropah memiliki tahap kefasihan paling tinggi berbahasa Inggeris manakala mereka di rantau Timur Tengah pula yang paling rendah. – UTUSAN ONLINE