Pukul bekas isteri: Tunggu perkembangan daripada polis - Hasnol - Utusan Malaysia

Pukul bekas isteri: Tunggu perkembangan daripada polis – Hasnol

HASNUL BAHARUDDIN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SHAH ALAM: Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Morib, Hasnul Baharuddin memaklumkan, tiada sebarang perkembangan terkini mengenai dakwaan memukul bekas isterinya, Juliani Jalilah Abdullah, 38, yang kini masih dalam siasatan polis.

Katanya, keterangan sudah diberi ketika dipanggil polis pada 1 November lalu dan memberitahu sebarang perkembangan terkini mengenai dakwaan itu bergantung kepada makluman polis.

“Itu kena semak dengan  polis. Keterangan sudah selesai lama, pada 1 November lepas. Tunggu maklumat terkini kena tunggu daripada pihak polis,” katanya ringkas ketika ditemui pemberita di Bangunan Annex, Dewan Negeri Selangor di sini hari ini.

Terdahulu, Utusan Malaysia melaporkan siasatan berhubung laporan polis bekas isteri ADUN Morib yang dilapor mencederakan isterinya kini di peringkat kajian di Bukit Aman.

Ketua Polis Selangor, Datuk Arjunaidi Mohamed berkata, kes melibatkan Hasnul telah dirujuk untuk kajian di Bukit Aman sebelum dihantar ke Timbalan Pendakwa Raya bagi tindakan mahkamah.

Sementara itu, berhubung perkembangan Belanjawan Selangor 2022, Hasnul yang juga Timbalan Speaker DUN memaklumkan, perancangan kerajaan negeri untuk pembangunan Koridor Pembangunan Selatan Selangor dijangka memberi impak kepada pembangunan di Kuala Langat, khususnya Morib.

“Pembangunan Koridor Selatan Selangor tidaklah melibatkan daerah Kuala Langat secara langsung, tetapi tetap memberi kesan apabila hab utama pengangkutan seperti Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) dihubungkan dengan mudah melalui pembinaan jalan baharu bernilai RM10 juta.

“Pembinaan jalan tersebut, selain memendekkan masa perjalanan dari Kuala Langat ke Dengkil, Sepang, secara tidak langsung juga membuka peluang ekonomi terutama merancakkan sektor pelancongan di Kuala Langat,” katanya.

Sebanyak RM44 juta diperuntukkan dalam Belanjawan Selangor 2022 untuk menampung kerja-kerja pembinaan jalan baru yang sedang dalam pembinaan. 

Jalan-jalan itu akan melalui kawasan-kawasan baharu dan menjadi pemangkin kepada pertumbuhan ekonomi sekitar yang melibatkan beberapa daerah seperti Gombak, Sepang serta Kuala Langat. – UTUSAN ONLINE 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN