MELAKA: Masyarakat tidak sepatutnya lagi menggelar Pas sebagai sebuah parti ‘tok lebai’ dan Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka akan membuktikan bahawa tanggapan itu salah.
Bercakap kepada Utusan Malaysia, calon Perikatan Nasional (PN) kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Klebang, Bakri Jamaluddin berkata, ia kerana pada PRN kali ini, parti itu menampilkan gabungan golongan ulama, teknokrat, profesional dan pendidik.
Ketua Penerangan PN Melaka itu turut menegaskan, kesemua lapan calon yang dipilih oleh Pas adalah berdasarkan integriti dan keharmonian yang mencakupi semua aspek serta dapat diterima seluruh masyarakat di negeri ini terutama di Klebang.
Akuinya, beliau sendiri adalah daripada golongan profesional kerana pernah terlibat dalam sektor perladangan hampir 34 tahun di sebuah syarikat dan jawatan terakhirnya ialah sebagai pengurus besar.
“Mereka tidak boleh anggap lagi Pas sebagai parti tok lebai sebab ada tiga menteri dan lima timbalan menteri berada dalam Kabinet di bawah Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.
“Setakat ini, prestasi kesemua mereka amat mengagumkan. Berdasarkan itu, calon-calon Pas bertanding atas tiket PN adalah yang terbaik ditawarkan kepada seluruh rakyat di negeri ini.
“Saya sebagai calon juga adalah daripada golongan profesional dan jangan anggap saya sebagai calon ‘tok lebai’,” katanya ketika ditemui di sini semalam.
Bakri akan berdepan saingan tiga penjuru dengan penyandang kerusi yang juga calon Pakatan Harapan (PH), Datuk Gue Teck yang menang pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) dengan majoriti 789 undian.
Seorang lagi pencabar ialah calon Barisan Nasional (BN), Datuk Lim Ban Hong.
Tambah Bakri lagi, Pas menawarkan budaya politik baharu yang berteraskan keharmonian semua kaum serta kepemimpinan berintegriti, bersih dan prihatin untuk dinikmati oleh masyarakat di DUN Klebang.Beliau yang pertama kali bertanding menegaskan, apa yang ditawarkan dilihat mampu menarik minat pengundi, tidak mustahil PN mampu memenangi kerusi tersebut.
Selain Bakri, Pas menampilkan tujuh calon lain iaitu Aziah Mohd Sa’ad (DUN Kuala Linggi), Muhammad Al Afiz Yahya (DUN Bukit Katil), Abu Hashim Abdul Samad (DUN Taboh Naning), Datuk Kamarudin Sidek (DUN Duyong), Ja’afar Othman (DUN Durian Tunggal), Ahmad Bilal Rahudin (DUN Serkam) dan Abd. Alim Shapie (DUN Merlimau). – UTUSAN










