PRN Melaka: Polis Melaka nafi dakwaan Fahmi Fadzil

PRN Melaka: Polis nafi dakwaan Fahmi Fadzil

ABDUL MAJID MOHD. ALI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MELAKA: Polis menegaskan kompaun yang dikeluarkan terhadap seorang individu kononnya disebabkan memakai baju logo parti sehingga tular dalam laman sosial adalah tidak benar, sebaliknya disebabkan melanggar Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 (Akta

Ketua Polis Melaka, Datuk Abdul Majid Mohd. Ali berkata, individu tersebut dikenakan kompaun sebanyak RM4,000 selepas dikesan menganjurkan program jelajah mesra (walkabout) parti berkenaan. 

Katanya, tindakan itu secara langsung melanggar prosedur operasi standard (SOP) Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) yang tidak membenarkan sebarang jelajah mesra untuk berkempen.

“Kita tidak menghalang mana-mana individu memakai pakaian berlogo parti sepanjang tempoh berkempen pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka.

“Kompaun itu dikeluarkan kerana individu tersebut telah melanggar Akta 342 kerana telah menganjurkan atau mengikuti program jelajah mesra calon dengan memakai baju lambang Pakatan Harapan (PH),” katanya. 

Tambahnya, kompaun tersebut juga dikenakan selepas pasukan pemantau sosial media mengesan satu hantaran mengenai kejadian menerusi akaun Facebook dan Twitter menggunakan nama Fahmi Fadzil. 

Gambar tersebut menunjukkan jentera parti berkumpul di kedai makan beramai-ramai dengan memakai ves logo parti yang turut dihadiri Pengerusi PH, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

“Kejadian itu dipercayai berlaku pada 10 November dan pasukan pemantau membuat laporan pada pukul 6.44 pagi tadi sebelum kertas siasatan dibuka bagi membolehkan individu terbabit dipanggil untuk membantu siasatan,” jelasnya. 

Susulan tindakan berkenaan, Fahmi Fadzil yang juga Pengarah Komunikasi PKR dalam ciapan di Twitternya telah menulis, ‘Gila, pakai lambang PH pun kena kompaun, sebab lambang kan sebar virus. Cuma bukan virus covid, tapi virus demokrasi. Itu virus yang mereka paling takut’.

Tambah Abdul Majid, polis menggesa mana-mana pemimpin atau individu yang tidak berpuas hati dengan tindakan tersebut tampil membuat laporan dan tidak hanya mengambil kesempatan melakukan serangan politik di media sosial.

“Sekiranya tidak puas hati dengan tindakan polis, janganlah guna media sosial atau pemberita semata-mata kerana itu hanya akan menimbulkan kekeliruan serta menyebabkan rakyat membuat interpretasi sendiri.

“Buatlah laporan kepada Suruhanjaya Integriti Agensi Penguatkuasaan (EAIC), biar suruhanjaya itu pula yang jalankan siasatan terhadap kami,” tegasnya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN