PRN Melaka: ‘Perlawanan persahabatan’ hanya penyedap bibir - Utusan Malaysia

PRN Melaka: ‘Perlawanan persahabatan’ hanya penyedap bibir

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Pertembungan antara Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) dan UMNO dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka yang dilihat segelintir pihak sebagai ‘pertandingan persahabatan’, hanya penyedap di bibir sahaja.

Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi Bersatu, Dr. Muhammad Faiz Bin Na’aman berkata, istilah tersebut juga dilihat sebagai satu penafian di sebalik realiti yang menunjukkan tiada inisiatif ke arah rundingan daripada parti yang didakwanya sering menjatuhkan rakan sendiri.

“Dalam persaingan terbuka dengan tujuan memenuhi pilihan rakyat, istilah ‘pertandingan persahabatan, ini hanya penyedap di bibir sahaja. 

“Ia bagaikan suatu penafian bahawa hakikatnya dari awal lagi tiada inisiatif ke arah rundingan pun oleh puak yang berulang kali menjatuhkan rakan sekerajaan sendiri sejak hujung tahun lepas,” katanya dalam satu kenyataan di Facebooknya hari ini.

Sebelum ini, Naib Presiden Pas, Datuk Idris Ahmad menyifatkan pertembungan parti itu dengan UMNO pada PRN Melaka sebagai ‘pertandingan persahabatan’ semata-mata.

Malah, Idris berkata, hubungan Muafakat Nasional (MN) masih berjalan seperti biasa .

Dalam pada itu, Muhammad Faiz berkata, pihak lain tidak boleh dipersalahkan kerana kononnya memecahbelahkan undi orang Melayu di Melaka.

“Jadi usah dituding mana-mana pihak kononnya mahu memecahkan undi orang Melayu dalam politik negara ini kerana hakikatnya ada ego, korupsi dan ketamakan yang terselit dalam kalangan puak elitis yang sedang mengawal parti-parti lama di Malaysia.

“Bersatu tidak boleh berlembut lagi. Kami pun ada maruah dan prinsip perjuangan,” tegasnya.- UTUSAN ONLINE

 

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN