PETALING JAYA: Pemimpin Veteran DAP, Lim Kit Siang mendakwa, Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka adalah pilihan raya paling bercelaru dalam enam dekad sejarah negara ini, dengan kemungkinan besar ramai calon kehilangan wang pertaruhan.
Beliau berkata, ini kerana terdapat 112 calon yang merebut 28 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Melaka.
Katanya, pilihan raya itu juga memperlihat berlakunya pertembungan tiga penjuru di 11 kerusi, empat penjuru di sembilan kerusi, lima penjuru di lima kerusi dan enam penjuru di tiga kerusi.
“Meskipun ini cuma PRN, ia tetap memberikan impak yang meluas terhadap masa depan Malaysia, malah menentukan nasib Perdana Menteri, Ismail Sabri Yaakob sama ada menjadi perdana menteri paling singkat dalam sejarah atau lebih singkat berbanding bekas Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin.
“Ia juga menentukan sama ada kleptokrasi akan kembali mencengkam Malaysia,” katanya dalam satu kenyataan di https://blog.limkitsiang.com.
Menurut Kit Siang, antara senjata yang digunakan dalam kempen PRN Melaka kali ini dengan menggunakan kaedah pembohongan dan penyebaran maklumat salah.
“Antaranya, pihak yang menggunakan senjata itu adalah pemimpin Parti Bersatu yang baru-baru ini menuduh Dap sebagai cauvinis dan anti-Melayu. Saya tidak faham mengapa beliau perlu membuat tuduhan semberono begitu.
“Di satu pihak yang lain pula, mereka menuduh saya sebagai cauvinis sebenar yang menggadaikan kepentingan dan hak kaum Cina, selain memomokkan saya sebagai pengkhianat kepada kaum Cina,” katanya.
Katanya, ini kerana pihaknya pernah mengatakan bahawa belajar Jawi atas pilihan sendiri tidak menjadikan seseorang itu kurang menjiwai semangat rakyat Malaysia, hakikatnya beliau pernah mempelajari Jawi ketika pertama kali ditahan di bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri di Muar pada 1969.
“Saya masih ingat, 44 tahun lalu, pada malam 8 November 1977 semasa ahli Parlimen DAP menyatakan sokongan kepada ahli Parlimen Pas yang ketika itu menolak pengisytiharan darurat di Kelantan dan membantah usul yang memberi kuasa kepada kerajaan Persekutuan untuk mengambil alih pentadbiran kerajaan negeri Kelantan.
“Ahli Parlimen Dap menyuarakan bantahan di Parlimen berhubung usul pelaksanaan darurat di Kelantan yang mana dibahaskan sehingga jam 2.45 pagi keesokan harinya. Masa itu, tiada pula yang mengatakan Dap anti-Melayu dan anti-Islam,” ujarnya. – UTUSAN ONLINE










