Polis rampas rokok tidak bercukai pelbagai jenama - Utusan Malaysia

Polis rampas rokok tidak bercukai pelbagai jenama

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BUKIT MERTAJAM: Sebanyak 85,940 kotak rokok tidak bercukai pelbagai jenama dirampas dalam beberapa serbuan berasingan di sekitar Bukit Mertajam dan Butterworth semalam. 

Serbuan tersebut yang membabitkan nilai RM482,000 dibuat di premis rumah kedai dan di dalam empat buah van dalam operasi bermula pukul 7.50 pagi. 

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Tengah, Asisten Komisioner Shafee Abdul Samad berkata, dalam operasi sama, empat lelaki warga tempatan turut ditahan untuk siasatan lanjut. 

SHAFEE ABDUL SAMAD

Menurut beliau, serbuan pertama dibuat hasil pemeriksaan yang dijalankan di sebuah premis kosong di Taman Kota Permai di sini. 

“Dalam serbuan itu, tiga lelaki yang berusia dalam lingkungan 30-an ditahan dan polis turut menjumpai pelbagai jenama rokok disyaki tidak bercukai yang disimpan di dalam premis berkenaan,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini. 

Ekoran serbuan itu katanya, polis menyerbu beberapa premis lain di sekitar Bukit Mertajam dan Butterworth dengan seorang lagi suspek lelaki tempatan berusia 30-an ditahan selain sejumlah rokok pelbagai jenama turut dirampas. 

“Hasil siasatan awal mendapati, premis-premis tersebut telah dijadikan gudang penyimpanan rokok tidak bercukai untuk dijual kepada pelanggan mengikut permintaan khususnya di sekitar Pulau Pinang. 

“Pemeriksaan lanjut juga mendapati, dua daripada suspek yang ditahan mempunyai rekod lampau berkaitan jenayah dan penyalahgunaan dadah,” katanya yang memberitahu, kesemua tangkapan sebelum itu telah dibawa ke ibu pejabat polis daerah (IPD) di sini untuk tindakan lanjut. 

Tambah Shafee, kes disiasat di bawah Seksyen 135(1)(d) Akta Kastam 1967. -UTUSAN ONLINE

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya