PN sudah ada nama calon KM, di mana Mohd. Rafiq? - Utusan Malaysia

PN sudah ada nama calon KM, di mana Mohd. Rafiq?

MUHYIDDIN Yassin dan Dr. Mohd. Yadzil Yaakub (tiga dari kanan) menikmati minum petang di Villa Mak Ngah, Ayer Panas, Jasin, Melaka. - UTUSAN/AMRAN MULUP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JASIN: Teka-teki mengenai calon Ketua Menteri jika Perikatan Nasional (PN) memenangi Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka hanya akan diumumkan beberapa hari sebelum seluruh rakyat ini keluar mengundi pada 20 November.

Pengerusi Perikatan Nasional (PN), Tan Sri Muhyiddin Yassin mengesahkan sudah mempunyai nama calon tersebut yang dipersetujui oleh semua komponen dalam PN.

Beliau berkata, nama calon yang sudah dipilih itu mendapat sokongan besar daripada semua pucuk pimpinan serta akar umbi.

“Ini adalah strategi kita menghadapi PRN tidak lama lagi, yang pastinya calon Ketua Menteri adalah datang daripada Bersatu.

“Tunggulah dalam beberapa hari lagi sebelum hari mengundi, saya akan umumkan nama Ketua Menteri itu,” katanya dalam sidang akhbar di Villa Mak Ngah, Ayer Panas, Bemban, dekat sini hari ini.

Yang hadir sama calon PN kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Bemban, Dr. Mohd. Yadzil Yaakub.

Isu calon Ketua Menteri seandainya PN membentuk kerajaan negeri hangat diperkatakan sejak seminggu  lalu.

Antara nama yang disebut-sebut ialah Naib Presiden Bersatu yang juga calon DUN Telok Mas, Datuk Mohd. Rafiq Naizamohidden dan calon DUN Tanjung Bidara yang juga Ahli Parlimen Masjid Tanah, Datuk Mas Ermieyati Samsudin.

Bagaimanapun, sewaktu sidang akhbar diadakan hari ini, Mohd. Rafiq yang juga Pengerusi PN Melaka tidak hadir seperti kebiasaan.

Perkara itu turut menimbulkan tanda tanya dalam kalangan pengamal media dan pemerhati politik tempatan.

Dalam pada itu, Muhyiddin menambah, PN tidak menjanjikan bulan atau bintang sepertimana dilakukan Pakatan Harapan (PH) semasa Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU-14).

“Kami tidak bohong kepada rakyat Melaka bila buat janji, kita akan tunaikan dan kita akan buktikan kemampuan kita,” ujarnya. – UTUSAN ONLINE 

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN