PKPD di Ladang Bukit disambung lagi - Utusan Malaysia

PKPD di Ladang Bukit disambung lagi

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) di satu lokaliti di Pahang yang sepatutnya akan berakhir esok, namun terpaksa dilanjutkan lagi bermula pada Sabtu ini.

Ketua Pengarah Majlis Keselamatan Negara, Datuk Rodzi Md. Saad berkata, ia melibatkan keseluruhan kawasan Ladang Sime Darby Bukit Puteri dalam Mukim Batu Yon 1, Daerah Lipis.

PKPD sehingga 3 Disember depan itu ujar beliau, hasil analisis terbaharu penilaian risiko dan trend jangkitan wabak Covid-19 yang dilaksanakan oleh pihak Kementerian Kesihatan sendiri.

Difahamkan, terdapat dua kes baharu dilaporkan di lokaliti tersebut pada kelmarin selepas tiga kes positif yang juga dicatatkan pada Sabtu lalu oleh pihak Jabatan Kesihatan Negeri Pahang.

Kawasan berkenaan mula diwartakan PKPD pada 6 November setelah merekodkan sejumlah 11 kes pandemik berkenaan dalam masa dua hari berturut-turut sejak awal November lepas.

Ia bermula dengan sembilan individu yang didapati dijangkit kes tersebut pada 2 November dan kemudian dua lagi keesokan hari di lokaliti terletak 30 kilometer dari bandar Kuala Lipis itu.

Kawasan berkenaan yang seluas 3,911 hektar dengan penanaman pokok kelapa sawit sahaja meliputi 3,834 hektar, manakala baki 77 hektar lagi merupakan penempatan penduduknya.

Lokaliti estet ini merupakan antara 208 ladang pertanian komersial yang diuruskan oleh gergasi komoditi ternama tempatan, Sime Darby Plantation Sdn. Bhd. di negara ini serta Indonesia.

Rodzi bagaimanapun memaklumkan bahawa tiada lokaliti baharu akan dilaksanakan PKPD selain tidak ada juga kawasan yang bakal ditamatkan sekatan secara bersasar itu pada esok. -UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN