Pinda undang-undang bolehkan individu 18 tahun jadi calon

Pinda Undang-Undang Tubuh Kerajaan Negeri bolehkan individu 18 tahun jadi calon

ISMAIL Sabri Yaakob ketika mempengerusikan Mesyuarat Menteri Besar dan Ketua Menteri (MBKM) Ke-137 di Putrajaya hari ini.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Semua Menteri Besar dan Ketua Menteri bersetuju meminda Undang-Undang Tubuh Kerajaan Negeri bagi membolehkan individu berusia 18 tahun menjadi calon Pilihan Raya Umum (PRU), Pilihan Raya Negeri (PRN) dan Pilihan Raya Kecil (PRK).

Perkara itu dipersetujui dalam Mesyuarat Menteri Besar dan Ketua Menteri (MBKM) Ke-137 semalam yang dipengerusikan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

Dalam mesyuarat tersebut, Perdana Menteri juga mahu semua kerajaan negeri menyegerakan pelaksanaan projek-projek berkaitan ekonomi dan perniagaan bagi merancakkan semula aktiviti ekonomi.

Perdana Menteri berkata, antara perkara yang perlu ditangani dan ditambah baik ialah kelewatan proses kelulusan berkaitan tanah dan lesen perniagaan di peringkat kerajaan negeri dan pihak berkuasa tempatan (PBT).

Beliau berkata, semua kerajaan negeri juga perlu meningkatkan sistem dan proses  penyampaian dengan mengurangkan kerenah birokrasi menerusi inisiatif pendigitalan.

“Melalui pendekatan Keluarga Malaysia juga, saya menyeru semua pihak mengetepikan latar belakang serta fahaman politik demi membawa negara keluar daripada kemelut Covid-19 serta memulihkan ekonomi,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Menurut Perdana Menteri, turut dibincangkan adalah usaha bersama Kerajaan Pusat dan negeri untuk merealisasi Agenda Perubahan Iklim dan Teknologi Hijau Negara termasuk  memulih kemusnahan hutan dan degradasi tanah menjelang tahun 2030.

Kata beliau, bagi mencapai matlamat tersebut, kerajaan sedang mempertimbangkan  pemberian insentif kepada kerajaan-kerajaan negeri untuk melaksanakan program dan projek bagi menjamin kelestarian biodiversiti.

Beliau menjelaskan, pemberian berbentuk pampasan tersebut merupakan inisiatif untuk  menggalakkan kerajaan-kerajaan negeri meningkatkan penjagaan serta  pemuliharaan hutan termasuk mengawal aktiviti pembalakan dan mewartakan kawasan tadahan air.

Ismail Sabri berkata, bagi tujuan penyelarasan inisiatif digital di peringkat negeri dan Persekutuan, kerajaan akan menubuhkan Majlis Ekonomi Digital dan 4IR Negeri (MED4IR Negeri) dan ia akan turut meneliti caj dan fi perkhidmatan agensi kerajaan dan PBT yang menyebabkan kadar bayaran perkhidmatan telekomunikasi yang tinggi dan membebankan rakyat.

Beliau turut memberitahu, mesyuarat turut bersetuju supaya lebih banyak sesi libat urus antara Kerajaan  Persekutuan dan Kerajaan Negeri terutama melibatkan projek-projek  pembangunan di negeri-negeri. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN