PH tak pernah lulus pertukaran kenderaan menteri dari Perdana ke Vellfire  - Utusan Malaysia

PH tak pernah lulus pertukaran kenderaan menteri dari Perdana ke Vellfire 

LIM GUAN ENG
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Kerajaan Pakatan Harapan (PH) tidak meluluskan apatah lagi mengumumkan pertukaran Kenderaan Rasmi Jawatan bagi menteri-menteri Kerajaan Persekutuan daripada model Proton Perdana 2.4 Premium kepada model Toyota Vellfire 2.5L. 

Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng berkata, selaras dengan prinsip perbelanjaan berjimat cermat dan berhemah, menteri-menteri kerajaan semasa pemerintahan PH menggunakan kenderaan model Perdana berbanding model Vellfire 2.5L yang lebih mewah.

Ahad lepas, Kementerian Kewangan dalam satu kenyataan memaklumkan, antara faktor pertukaran kenderaan rasmi adalah kos sewaan bulanan Vellfire 2.5 lebih rendah dari kos sewaan bulanan Perdana 2.4 Premium. 

Kos sewaan sebulan Perdana 2.4 Premium adalah RM4,854.41 manakala Vellfire 2.5 pula RM4,851.61.

“Tidak dapat dipastikan kesahihan sama ada pertukaran KRJ ini dibuat antara lainnya berdasarkan kos sewaan model Toyota Vellfire 2.5L lebih rendah berbanding model Proton Perdana 2.4 Premium,” katanya dalam satu kenyataan. 

Menurut Guan Eng, kadar kos pajakan Toyota Vellfire yang lebih rendah daripada Perdana 2.4 tidak masuk akal dan tidak munasabah berdasarkan kenyataan Presiden Persatuan Kereta Sewa Malaysia, Farouk Fernandez.

“Farouk menegaskan bahawa ia tidak masuk akal kerana gagal mengambil kira kenderaan dijual pada harga berbeza kepada kerajaan berbanding entiti swasta kerana kerajaan boleh menjimatkan kos melalui pengecualian duti dan cukai,” katanya.

Tambah beliau, kenderaan jenama lain yang lebih murah dan sepadan dengan kelengkapan kereta Proton Perdana dipertimbang itu turut menjadi persoalan berbanding memastikan keutamaan diberikan kepada kereta buatan negara. 

“Demi prinsip akauntabiliti dan ketelusan, Kementerian Kewangan perlu memaklumkan kepada orang ramai sama ada tender terbuka dilaksanakan dan syarikat manakah yang menguruskan penyewaan baru kenderaan rasmi kerajaan Persekutuan,” katanya. – UTUSAN ONLINE 

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN