Pesara rugi RM30,000 akibat ‘banjir termenung’ - Utusan Malaysia

Pesara rugi RM30,000 akibat ‘banjir termenung’

JOHARI Rashid (kanan) melihat kawasan sawah yang ditenggelami banjir termenung di Kampung Luar, Rantau Panjang, Kelantan, semalam. - UTUSAN/YATIMIN ABDULLAH
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

RANTAU PANJANG: Seorang pesara kerajaan terduduk dan hanya mampu termenung melihat tanaman kelapa dan pisang bermodalkan RM30,000 daripada wang pencennya, musnah ditenggelami banjir.

Kesemua 305 anak pokok ditanam Che Nazir Che Soh, 62, di Kampung Luar, di sini rosak kerana terlalu lama terendam dalam takungan air atau ‘banjir termenung’ yang tidak surut-surut sejak dua minggu lalu.

Che Nazir berkata, biarpun cuaca panas, banjir termenung yang melanda kampung itu tidak surut-surut sehingga dia sendiri kini turut ‘termenung’ kebingungan memikirkan kerugian besar bakal ditanggung.

Memuatkan artikel berkaitan…

“Kawasan ini tidak mudah banjir, kalau tenggelam pun air surut dengan cepat. Saya tidak dapat mengenal pasti jumlah kerugian sebenar kerana air belum surut,” katanya ketika ditemui di sini, semalam.

Che Nazir antara 40 petani dan pesawah dari Kampung Luar dan Tersang, di sini yang berdepan masalah banjir termenung sejak dua minggu lalu, dipercayai berpunca daripada projek tebatan banjir di Gual Periok.

Sementara itu, wakil pesawah, Azli Jaafar, 53, berkata, banjir termenung yang pertama kali berlaku itu menenggelamkan kira-kira 156 hektar kawasan tanah sawah di dua kampung berkenaan.

“Mujurlah majoriti pesawah sempat menuai padi masing-masing sebelum banjir berlaku.

“Namun kita khuatir jika kerajaan tidak segera bantu cari jalan mengatasinya, fenomena banjir termenung ini boleh menyebabkan kerja-kerja penanaman padi untuk kitaran seterusnya lewat berbanding jadual asal,” katanya.

Sementara itu, Pengurus Pertubuhan Peladang Kawasan (PPK) Rantau Panjang, Johari Rashid ketika meninjau kawasan yang terjejas memberitahu, masalah dihadapi petani dan pesawah akan segera diadukan kepada kerajaan. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×