Perlu RM90,000 pembedahan jantung keempat pada usia 2 tahun 

Perlu RM90,000 untuk jalani pembedahan jantung keempat pada usia 2 tahun 

NUR Afia Mikayla Abdul Khaliq dari Penaga, Pulau Pinang memerlukan sebanyak RM90,000 untuk menjalani pembedahan jantung kali keempat dan merayu sumbangan orang ramai.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BUKIT MERTAJAM: Usia kanak-kanak perempuan ini masih terlalu muda iaitu baru mencecah dua tahun. 

Bagaimanapun, sepanjang tempoh tersebut, Nur Afia Mikayla Abdul Khaliq telah menjalani pembedahan jantung sebanyak tiga kali dengan dua daripadanya ketika berusia dua bulan manakala satu lagi ketika usianya baru mencapai satu tahun. 

Difahamkan, ketika berada dalam kandungan ibunya, kanak-kanak itu tidak menunjukkan sebarang tanda atau masalah yang ganjil. 

Bagaimanapun, selepas tiga jam dilahirkan, paras oksigen di dalam badannya menurun sehingga ke tahap berbahaya dan terpaksa dikejarkan Unit Rawatan Rapi Neonatal (NICU) di sebuah hospital. 

Menurut doktor, Nur Afia Mikayla telah didiagnosis menghadapi masalah kecacatan jantung konginental seperti kedudukan jantung yang berada di posisi yang salah atau ‘mesorcadia’ serta saluran darah yang nipis dan bertukar tempat. 

Untuk itu, dia terpaksa menjalani tiga pembedahan secara berperingkat sejak lahir dan kini perlu melalui pembedahan keempat iaitu pembedahan jantung pelengkap yang menelan kos sebanyak RM90,000. 

Buntu dengan jumlah kos rawatan yang tinggi, kedua ibu bapanya, Aizatul Melissa Abdullah, 23, dan Muhammad Hanif Mohtar, 24, menghubungi pertubuhan kebajikan, One Hope Charity and Welfare di sini bagi membantu mereka menguruskan kutipan dana serta rawatan dengan pihak hospital. 

Pengerusi One Hope Charity and Welfare, Datuk Chua Sui Hau berkata, pembedahan pelengkap itu perlu dilakukan secepat mungkin untuk menyelesaikan masalah ‘pulmonary atresia with ventricular septal defect’ (PA-VSD). 

Ini kerana katanya, kanak-kanak tersebut mempunyai tanda ‘cyanosis’ atau perubahan warna tisu pada anggota badan kepada warna lebih gelap di bahagian jari dan bibir. 

“Bapa Nur Afia Mikayla yang berasal dari Penaga dekat sini hanya bekerja sebagai penghantar kurier dengan gaji RM1,250 manakala ibunya suri rumah sepenuh masa. 

“Atas sebab itu dan selepas melakukan pengesahan dengan beberapa pihak lain yang terlibat, kami memutuskan menjalankan kutipan amal bagi membantu menguruskan kos pembedahan Nur Afia Mikayla,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini. 

Orang ramai yang ingin membantu kanak-kanak tersebut boleh melayari laman sesawang www.onehopecharity.org dan menyalurkan sumbangan mereka menerusi akaun Public Bank Berhad pertubuhan kebajikan itu di nombor 3201428817 atau menghubungi talian 016-4192192, 019-2322192 atau 04-5399212 untuk maklumat lanjut. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya