Peralihan fasa ke endemik ditangguhkan kerana Omicron

Peralihan fasa ke endemik ditangguhkan kerana Omicron

HISHAMMUDDIN TUN HUSSEIN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Fasa peralihan daripada pandemik ke endemik ditangguhkan ekoran penularan varian Omicron.

Pengerusi Mesyuarat Menteri Kuartet Covid-19, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein berkata, keputusan itu dibuat kerana Omicron sedang menular di seluruh dunia dan varian tersebut lebih berisiko kerana ia boleh merebak dengan lebih mudah dan pantas.

Menurut beliau, Kementerian Kesihatan (KKM) sedang membuat pemantauan rapi termasuk mengetatkan semula kawalan sempadan.

“Semua ahli mesyuarat Kuartet sudah diberi taklimat oleh Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin mengenai tindakan segera dan pendekatan KKM. Walaupun tiada kes varian ini dilaporkan di negara kita, KKM sudah melaksanakan tindakan awal bagi menghalang varian ini merebak di dalam negara seperti yang diumumkan oleh kementerian tersebut pada 27 November lalu.

“KKM juga sedang mendapatkan maklumat lebih terperinci mengenai varian tersebut dan sementara waktu kerajaan akan mengenakan kawalan sempadan antarabangsa yang lebih ketat ke atas negara-negara yang menghadapi penyebaran varian Omicron,” katanya dalam kenyataan yang dikeluarkan.

Terdahulu, Utusan Digital melaporkan, varian Omicron sudah ditemukan di beberapa negara termasuk Australia, Belgium, Botswana, Britain, Denmark, Jerman, Hong Kong, Israel, Itali, Belanda, Perancis, Kanada dan Afrika Selatan.

Hishammuddin berkata, prosedur operasi standard (SOP) semasa dalam negara untuk negeri-negeri dalam fasa tiga dan empat masih kekal.

Jelasnya, Mesyuarat Kuartet memutuskan supaya usaha untuk peralihan ke endemik ditangguhkan seketika sehingga kementerian mengetahui lebih lanjut mengenai varian Omicron.

Tambahnya, masyarakat perlu sentiasa berwaspada dalam menjaga diri kerana semakin ramai orang dijangkiti, peluang untuk virus Covid-19 mengalami mutasi menjadi semakin tinggi dan varian baharu boleh terhasil.

“Saya harap masyarakat terus berdisiplin dalam menjaga keselamatan diri dan orang sekeliling. Saya nasihati rakyat untuk mengamalkan SOP ditetapkan oleh KKM untuk mengurangkan risiko pendedahan kepada virus,” tegasnya. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya.