Perak cadang wujudkan studio rakyat di setiap DUN

Perak cadang wujudkan studio rakyat di setiap DUN

KHAIRUL Shahril Mohamed (dua dari kanan) menyampaikan sumbangan kepada K. Yoganathan (tiga dari kanan), anak bekas atlit olahraga negara, A. Kandiah di kediamannya di Persiaran Sungai Pari, Buntong, Ipoh, Perak, hari ini. - FOTO/ASLIZA MUSA
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

IPOH: Kerajaan negeri merancang mewujudkan studio rakyat di setiap Dewan Undangan Negeri (DUN) yang bertujuan memberi perkhidmatan digital kepada rakyat.

Pengerusi Jawatankuasa Belia, Sukan, Komunikasi dan Multimedia Negeri Perak, Khairul Shahril Mohamed berkata, studio berkonsep layar hijau itu akan membantu rakyat menghasilkan pengiklanan produk secara digital tanpa dikenakan bayaran.

Katanya, studio digital itu akan diuruskan pusat khidmat dan boleh digunakan semua golongan.

“Kertas cadangan studio itu telah dibentangkan pejabat Exco kepada Menteri Besar dan kini sedang diperhalusi sebelum dilaksanakan di seluruh negeri.

“Dengan kewujudan studio itu, ia dapat membantu orang ramai menghasilkan bahan promosi secara digital di mana platform itu dilihat dapat membantu mereka memperkenalkan produk masing-masing,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas menziarahi keluarga bekas atlet olahraga negara, A. Kandiah yang meninggal dunia September lalu di Persiaran Sungai Pari di sini hari ini.

Dalam kunjungan itu, Khairul Shahril mewakili kerajaan negeri menyampaikan sumbangan wang tunai kepada waris mendiang atas sumbangan dalam bidang sukan ketika hayatnya.

Mengulas lanjut beliau berkata, idea untuk mewujudkan studio itu tercetus dengan kemunculan ‘Bota TV’ di Seri Iskandar yang mula beroperasi semalam.

“Kita melihat studio ini sebagai keperluan untuk orang ramai menggunakannya untuk mereka menggerakkan pelbagai aktiviti,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN