Pengusaha pelancongan Langkawi rugi RM 15 juta sebulan - Utusan Malaysia

Pengusaha pelancongan Langkawi rugi RM 15 juta sebulan

ZAINUDIN KADIR  
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ALOR SETAR: Persatuan Pelancongan Langkawi (LTA) mendakwa, pengusaha pelancongan di Langkawi  kerugian antara RM10 juta hingga RM15 juta dalam tempoh sebulan selepas ketiadaan pelancong asing sejak pelaksanaan gelembung pelancongan antarabangsa bagi projek rintis Langkawi, 15 November lalu.

Ketua Pegawai Eksekutif LTA, Zainuddin Kadir berkata, keadaan tersebut berlaku apabila tiada penerbangan terus dari luar negara ke pulau peranginan itu selepas pelaksanaan gelembung pelancongan antarabangsa.

Katanya, lebih 200 pengusaha pelancongan di pulau itu mengeluarkan kos antara RM5,000 hingga RM10,000 untuk menaik taraf dan membaiki premis mereka bagi menyambut kedatangan pelancong menerusi projek tersebut.

Bagaimanapun, katanya, mereka kecewa kerana tiada pelancong asing berkunjung ke Langkawi seperti yang diharapkan selepas kerajaan mengumumkan gelembung pelancongan antarabangsa.

“Tidak dapat dinafikan pendapatan hasil daripada pelancong luar negara itulah yang menjana ekonomi penduduk Langkawi yang rata-rata terlibat dengan sektor ini,” katanya ketika dihubungi di sini, semalam.

Akhbar sebelum ini melaporkan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob mengumumkan pelancong antarabangsa dibenarkan memasuki pulau peranginan Langkawi menerusi Gelembung Pelancongan Antarabangsa bagi Projek Rintis Langkawi bermula 15 November lalu.

Beliau berkata, Jawatankuasa Khas Pengurusan Pandemik Covid-19 bersetuju dengan cadangan prosedur operasi standard (SOP) yang dibentang Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) berhubung gelembung pelancongan itu yang perlu dipatuhi pelancong asing.

Menerusi SOP gelembung tersebut, katanya, kumpulan sasaran adalah pelancong berkualiti, selain individu yang telah lengkap vaksinasi Covid-19.

Sementara itu, Lembaga Pembangunan Langkawi (LADA) menjangkakan seramai 400,000 pelancongan mengunjungi pulau peranginan ini selepas pelaksanaan gelembung pelancongan bermula pada 16 September ini.

Ketua Pegawai Eksekutifnya, Nasaruddin Abdul Muttalib memberitahu, jumlah perbelanjaan pelancong terbabit dalam tempoh itu pula dianggarkan RM165 juta.

Zainuddin menambah, beliau difahamkan pelancong asing lewat berkunjung ke Langkawi selepas gelembung pelancongan antarabangsa dilaksanakan disebabkan kelewatan pengumuman SOP ditetapkan kerajaan.

“Gelembung pelancongan antarabangsa bukan seperti dalam negara, hari ini umum SOP, esok pelancong boleh datang. Ini antarabangsa. Pelancong yang memasuki pulau ini melalui ejen perlu membuat persiapan awal seperti tempah tiket kapal terbang dan hotel,” katanya.

Sebaliknya, beliau berkata, pengusaha pelancongan pula telah membuat persiapan awal untuk menyambut ketibaan pelancong asing itu.-UTUSAN ONLINE

 

 

 

 

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya