JASIN: Pengundi atas pagar bakal menjadi penentu buat calon-calon Perikatan Nasional (PN) untuk memenangi 28 kerusi yang ditandingi parti itu dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka, Sabtu ini.
Setiausaha Agung Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Datuk Seri Hamzah Zainudin berkata, tempoh tiga hari yang tinggal sebelum rakyat di negeri ini keluar mengundi harus digunakan oleh kesemua calon PN mendekati pengundi berkenaan.
Menurutnya, mereka boleh menjadi undi penentu dan dapat memberi kemenangan buat PN, memandangkan saingan dua dan lima penjuru dihadapi oleh semua calon yang ditampilkan menghadapi PRN ini.
Beliau berkata, jika semua calon bekerja keras memenangi hati mereka, tidak ada masalah untuk pengundi atas pagar itu memberi sokongan kepada PN.
“Saya minta semua calon daripada PN harus memberi tumpuan kepada pengundi atas pagar kerana mereka ini boleh memberikan kemenangan buat kita.
“Setakat ini, saya melihat rakyat dapat menerima dengan baik ramai calon-calon muda dan baharu yang PN tampilkan untuk PRN ini.
“Pada awalnya calon kita tidak begitu popular namun setelah beberapa hari kempen berjalan di seluruh negeri ini nampaknya calon kita lebih menjadi perhatian berbanding calon-calon parti lain yang bertanding,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas melawat Bilik Gerakan PN di Telok Mas di sini hari ini.
Turut hadir calon bagi DUN Telok Mas yang juga Pengerusi PN Melaka, Datuk Mohd. Rafiq Naizamohideen.
Hasil maklum balas yang diterima di setiap DUN dikunjunginya kata Hamzah, penduduk mula melahirkan keyakinan terhadap parti itu kerana teruja dengan calon, tetapi lebih penting perwatakan Presiden Bersatu, Tan Sri Muhyiddin Yassin.
Justeru katanya, semua calon diminta meningkatkan gerakan berkempen untuk mencuri hati rakyat supaya mengundi PN nanti.










