Penganggur dituduh bunuh ibu saudara - Utusan Malaysia

Penganggur dituduh bunuh ibu saudara

AW Kim Wah dibawa keluar dari Mahkamah Majistret Ipoh hari ini atas tuduhan membunuh ibu saudaranya dua minggu lalu. - UTUSAN/ZULFACHRI ZULKIFLI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

IPOH: Seorang penganggur dihadapkan ke Mahkamah Majistret di sini atas pertuduhan membunuh ibu saudaranya  dua minggu lalu.

Tertuduh,  Aw Kim Wah, 40, mengangguk faham selepas pertuduhan dibacakan jurubahasa dalam bahasa Kantonis di hadapan Majistret Noor Azreen Liana Mohd. Darus.

Bagaimanapun tiada sebarang pengakuan direkodkan daripada tertuduh memandangkan kes berkenaan di bawah kuasa Mahkamah Tinggi.

Mengikut pertuduhan, Kim Wah didakwa dengan niat telah melakukan bunuh dengan menyebabkan kematian Aw Foong Meng, 73  di alamat M97/H, Kampung Cina, Mengelembu antara pukul 11 pagi hingga 3.25 petang pada 9 November 2021.

Pertuduhan terhadapnya dikemukakan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman mati mandatori jika sabit kesalahan.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Mohammad Haiqal Asyraf Suhaimi manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

Mahkamah kemudiannya menetapkan 24 Januari depan bagi sebutan semula kes.

Pada 9 November lalu, seorang wanita warga emas ditemukan mati dengan kesan kelar dan tikaman pada leher dipercayai dibunuh anak saudaranya dalam kejadian di Kampung Cina dekat Menglembu, di sini.

Mangsa ditemukan dalam keadaan tertiarap dan berlumuran darah di tepi katil dalam bilik di rumahnya. – UTUSAN ONLINE

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya