Penganggur diberkas curi burung kakak tua RM3,300 - Utusan Malaysia

Penganggur diberkas curi burung kakak tua RM3,300

SEEKOR burung kakak tua jenis African Grey yang dicuri seorang penggangur sebelum diberkas polis di Kampung Dato' Kayaman, Padang Besar, Perlis.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PADANG BESAR: Tidak sampai lapan jam selepas mencuri seekor burung eksotik, seorang penganggur akhirnya diberkas dalam kejadian di Kampung Dato’ Kayaman di sini, semalam.

Ketua Polis Daerah Padang Besar, Superintenden Saifudin Aslin Abbas berkata, hasil siasatan dan maklumat membawa kepada penahanan lelaki berusia 44 tahun itu.

Katanya, pemeriksaan lanjut di rumah berkenaan menemukan seekor burung kakak tua jenis Grey African.

“Pemeriksaan terhadap nombor penandaan pada kaki burung tersebut didapati sama dengan nombor penandaan yang terdapat di dalam lesen dari Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara Semenanjung Malaysia yang telah dikeluarkan kepada pemilik.

“Burung tersebut dianggarkan bernilai RM3,300 manakala pemeriksaan lanjut mendapati suspek positif dadah jenis methamphetamine,” katanya di sini hari ini.

Dalam kejadian kira-kira pukul 4 pagi itu, mangsa dari Beseri yang merupakan seorang guru berusia 34 tahun terdengar bunyi bising burung peliharaannya itu sebelum bangun dan keluar rumah untuk melakukan pemeriksaan.

Selepas melakukan pemeriksaan, mangsa mendapati haiwan peliharaannya itu telah tiada di dalam sangkar.

Ketika kejadian, sangkar burung tersebut hanya dikunci menggunakan dawai dan tiada sebarang rakaman kamera litar tertutup (CCTV) di lokasi tersebut.

Mangsa bagaimanapun sempat melihat kelibat seorang individu melarikan diri namun tidak dapat mengecam siapa individu tersebut.

Tambah Saifudin, siasatan awal mendapati suspek memberi alasan sangat tertarik dengan haiwan eksotik tersebut.

“Kes disiasat di bawah Seksyen 380 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum sehingga 10 tahun serta denda dan Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952,” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN