Penduduk setinggan Menggatal diberi dua bulan berpindah - Utusan Malaysia

Penduduk setinggan Menggatal diberi dua bulan berpindah

MASIUNG Banah (dua kanan) mendengar keluhan salah seorang penduduk yang tinggal di kawasan setinggan berhampiran Kampung Tebobon, Menggatal di Kota Kinabalu.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KOTA KINABALU: Penduduk kawasan setinggan yang menduduki tapak projek komersial Jalan Dato, Menggatal diberi tempoh dua bulan untuk berpindah dan mencari rumah baharu.

Walaupun perintah mahkamah telah dikeluarkan untuk penduduk setinggan berpindah serta-merta namun, kelonggaran diberikan untuk penduduk di kawasan setinggan itu mencari rumah baharu dalam tempoh dua bulan.

Pengerusi Lembaga Pembangunan Perumahan dan Bandar (LPPB), Datuk Masiung Banah berkata, sebahagian penduduk membuat aduan apabila struktur rumah mereka dirobohkan oleh kontraktor pemaju selepas arahan mahkamah dikeluarkan.

Maka, beliau meminta pemaju agar memberi tempoh yang mencukupi kepada penduduk setinggan untuk berpindah dan mencari tempat tinggal baharu.

“Tempoh dua minggu yang diberikan pemaju untuk berpindah terlalu singkat. Tempoh untuk mengosongkan kawasan itu perlu dilanjutkan sehingga 31 Disemberi ini,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Masiung turut melahirkan kekecewaan terhadap tindakan pemaju yang merobohkan sebahagian rumah setinggan menggunakan jentera berat kerana keengganan penduduk mengosongkan tapak pembinaan berkenaan dalam tempoh singkat.

Beliau berkata, terdapat kira-kira 20 buah rumah setinggan yang didirikan di kawasan tapak projek bangunan komersial dan perumahan tersebut.

“Kita perlu ada perikemanusiaan kerana penduduk di kawasan setinggan ini kebanyakan penduduk tempatan yang berpendapatan rendah dan datang daripada pelbagi daerah di Sabah.

“Biarpun ada arahan mahkamah supaya penduduk setinggan berpindah serta-merta namun, saya bertegas agar mereka diberi tempoh dua bulan lagi sehingga hujung tahun ini untuk berpindah, ” katanya.

Perintah mahkamah untuk merobohkan rumah setinggan di kawasan itu dikeluarkan pada bulan lalu selepas penduduk di situ enggan berpindah biarpun notis berpindah sudah diberikan oleh pemaju.

Syarikat pemaju tempatan yang membangunkan kawasan tersebut memperoleh hak milik tanah lebih 100 ekar hasil usahasama dengan LPPB sejak lebih 20 tahun lalu. 

Masiung berkata, semasa lawatan ke kawasan setinggan itu semalam, rata-rata penduduk faham tentang proses perundangan dan arahan mahkamah untuk mereka berpindah.

Namun katanya, sedikit masa diperlukan untuk mereka mencari tempat tinggal baharu.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN