KOTA KINABALU: Pendaftaran Gabungan Rakyat Sabah (GRS) sebagai gabungan parti politik secara rasmi dilihat akan menjamin keharmonian politik Sabah dalam jangka masa panjang.
Setiausaha Pas Sabah, Dr. Aliakbar Gulasan berkata, kemenangan dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah lalu merupakan satu mandat yang menunjukkan keyakinan rakyat terhadap gabungan yang disertai oleh pelbagai parti politik ini.
Maka, persefahaman politik ini mesti dikekalkan kerana ketika politik kerajaan Pusat dan beberapa negeri lain di Semenanjung bergolak, politik Sabah di bawah kepimpinan GRS masih teguh dan berjalan dengan baik.
“Kerajaan GRS terbukti mesra rakyat terutama semasa berhadapan kesukaran akibat pandemik Covid-19. Pelbagai program yang menunjukkan keprihatinan kerajaan dilaksanakan sepanjang tempoh ini.
“Justeru, Pas menyambut baik cadangan untuk mendaftarkan GRS secara rasmi kerana ia langkah terbaik untuk menjamin keharmonian dan kesederhanaan dalam politik Sabah,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Aliakbar menyokong cadangan dikemukakan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Usukan, Datuk Seri Salleh Said Keruak yang mahu GRS didaftar sebagai gabungan parti politik secara rasmi untuk mengelak berlaku pertembungan seperti situasi yang berlaku pada PRN Melaka.
GRS dianggotai oleh Barisan Nasional (BN), Perikatan Nasional (BN) dan Parti Bersatu Sabah (PBS).
Pengerusi Kelab Backbenchers GRS berkata, situasi yang berlaku semasa PRN Melaka memberi petunjuk jelas untuk pemimpin GRS bertindak dalam memperkasakan hala tuju GRS di negeri ini.
Ketika ini, GRS mempunyai kedudukan yang cukup selesa di Sabah dengan 50 kerusi DUN termasuk enam ADUN dilantik dan empat ADUN Bebas yang menyokong kerajaan manakala, pembangkang hanya mempunyai 28 kerusi. -UTUSAN ONLINE
Ends.