Pembekal ambil kesempatan naikkan harga - Utusan Malaysia

Pembekal ambil kesempatan naikkan harga

Nuratiqah Ruslan membantu ibunya berniaga nasi kukus dan kerepek di Kinarut, Papar.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KOTA KINABALU: Kekurangan bekalan minyak masak dalam peket satu kilogram di pasaran membuka ruang kepada pembekal untuk mengambil kesempatan menaikkan harga kepada RM3.50 sepaket.

Keadaan itu meletakkan pengguna dalam keadaan tersepit kerana terpaksa membeli pada harga yang lebih mahal.

Shahran Andi, 38, yang berniaga pisang goreng berkata, dia memerlukan sehingga tujuh paket minyak masak setiap hari.

“Namun, sejak ekonomi dibuka semula selepas Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), masalah kekurangan bekalan minyak masak pula dihadapi.

“Kekurangan bekalan di pasar raya menyebabkan kami terpaksa membeli minyak daripada pembekal yang menjualnya pada harga RM2.80 hingga RM3.50 sepaket.

“Pembekal datang ke sini pada setiap dua minggu dan kami terpaksa juga beli biarpun harganya tinggi berbanding harga biasa, RM2.50 sepaket,” katanya kepada Utusan Malaysia.

Shahran berkata, bekalan minyak peket masih ada di pasaran cuma pembelian dihadkan kerana kekurangan stok. Di pasar raya, setiap pelanggan hanya boleh beli dua paket.

Katanya, peniaga sepertinya perlu menggunakan minyak masak paket dalam kuantiti yang banyak setiap hari maka, dua paket itu tidak mencukupi.

Tambah beliau, sebelum PKP, mereka dibenarkan membeli sekotak minyak masak tetapi sekarang pembelian amat terhad.

Justeru, Shahran berharap, kerajaan dapat menangani masalah kekurangan bekalan minyak masak paket ini agar tiada pihak mengambil kesempatan menaikkan harga dan membebankan peniaga serta pengguna.

Sementara itu, Nuratiqah Ruslan, 16, yang membantu ibunya berniaga nasi kukus menyatakan, kesukaran mendapat bekalan minyak masak paket menyebabkan peniaga makanan seperti mereka terjejas.

“Setiap hari kami memerlukan tiga peket minyak masak untuk menggoreng ayam. Tapi, sejak bekalan sukar diperoleh, mereka terpaksa membeli minyak dalam botol yang jauh lebih mahal.

“Kalau ada minyak masak peket sekali pun, pembelian dihadkan kepada dua paket sahaja bagi setiap pelanggan,” katanya. -UTUSAN ONLINE

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN