TAHUN 2025 bakal melabuhkan tirainya, musim cuti sekolah memberikan ruang buat kebanyakan keluarga untuk berehat seketika daripada rutin harian.
Sama ada bercuti ke destinasi yang telah lama dinanti-nantikan atau pulang ke kampung halaman, setiap perjalanan merupakan peluang untuk memperkukuh ikatan, meneroka pengalaman baharu dan mencipta memori indah bersama.
Pakar Keibubapaan dan Motivasi, Zaid Mohamad daripada Zaid Mohamad Academy, berpendapat bahawa detik-detik di jalan raya boleh memberi impak yang sama besarnya dengan destinasi percutian itu sendiri, sekiranya keluarga itu membuat perancangan yang lebih awal.
Rancang Awal untuk Perjalanan yang Lebih Lancar
Menurut Zaid, perancangan awal memainkan peranan penting dalam menentukan suasana dan waktu berharga bersama keluarga. “Perancangan awal bukan hanya tentang mengelakkan kesesakan lalu lintas, ia memberikan ruang kepada ibu bapa untuk menumpukan perhatian kepada perkara yang benar-benar penting iaitu meluangkan masa yang bermakna bersama orang tersayang,” kongsinya.
Bagi kebanyakan keluarga, kesibukan persiapan saat-saat akhir boleh menyebabkan tekanan, hilang sabar dan suasana perjalanan yang tegang. Merancang perjalanan lebih awal sama ada menentukan pemilihan destinasi dan laluan, penyediaan bekalan makanan ringan, mengatur hiburan kanak-kanak, atau mempertimbangkan lokasi rehat ketika dalam perjalanan dapat membantu perjalanan tersebut menjadi sebahagian daripada pengalaman keluarga, dan bukannya halangan yang perlu diatasi.
“Kembara di jalan raya bersama keluarga adalah lebih daripada sekadar perjalanan dari titik A ke titik B. Ia adalah peluang untuk kita berbual, ketawa, dan mengembara bersama,” tambah Zaid.
Menjadikan Perjalanan sebagai Pengalaman Mengukuh Ikatan
Dengan anak-anak yang sering leka dengan aktiviti sekolah, gajet dan aktiviti kokurikulum, kembara di jalan raya menawarkan peluang untuk keluarga menikmati masa bersama dengan yang tersayang.
“Anak-anak mengingati bagaimana kita membuat mereka rasa dihargai. Detik-detik ringkas seperti menyanyi di dalam kereta, berkongsi cerita atau menikmati percutian singkat di mana-mana destinasi pelancongan boleh meninggalkan kesan yang berkekalan di hati mereka,” jelas Zaid.
Beliau menggalakkan ibu bapa untuk mengurus jangkaan dengan kekal fleksibel dan sabar, terutamanya apabila bercuti bersama anak-anak kecil. Kelewatan, keresahan atau keperluan yang tidak dijangka harus dilihat bukan sebagai gangguan, tetapi sebagai peluang untuk mempraktikkan empati dan kekal tenang.
“Apabila kita memulakan perjalanan dengan lebih sabar, kita sedang mengajar anak-anak kita daya tahan dan kestabilan emosi, pelajaran yang akan kekal bersama mereka selepas cuti berakhir,” katanya.

PLUS Galak Perjalanan Selamat dan Selesa Musim Cuti Ini
Memandangkan lebih daripada dua juta kenderaan sehari pada hari-hari puncak dijangka akan melakukan perjalanan semasa cuti sekolah, sambutan Krismas dan Tahun Baharu yang akan datang, PLUS Malaysia Berhad (PLUS) meningkatkan kesedaran pengguna untuk mengutamakan keselamatan dan keselesaan di lebuh raya.
PLUS menekankan kepentingan supaya orang ramai merancang laluan, mengurus masa perjalanan dan menetapkan waktu untuk berehat semasa pemanduan jarak jauh.
Ketua Pegawai Komersil PLUS, Mohd Fauzi Puniran berkata, mereka amat menggalakkan keluarga untuk merancang perjalanan mereka lebih awal melalui jadual perjalanan digital MyPLUS-TTA di aplikasi PLUS.
“Ini termasuk merancang waktu untuk berhenti rehat sepanjang perjalanan di lebuh raya. Pemandu yang cukup rehat adalah kunci kepada perjalanan percutian yang selamat dan lebih selesa,” katanya.
Kawasan Rehat & Rawat (R&R) PLUS telah menjadi persinggahan penting untuk pengguna lebuh raya, menawarkan bukan sahaja kemudahan, tetapi juga keselesaan dan persekitaran yang menyegarkan.
“Kawasan R&R kami direka untuk menjadi lebih daripada sekadar tempat persinggahan. Kami menyediakan kemudahan yang selesa dan mesra keluarga, merangkumi tandas, ruang solat, taman permainan kanak-kanak, serta bilik persalinan bayi.
“Dilengkapi dengan suasana yang mesra, R&R turut menawarkan kepelbagaian pilihan makanan dan minuman. Daripada hidangan kegemaran tempatan dan jenama terkemuka hingga kepada pilihan sedia bawa seperti kopi yang dibancuh segar serta snek ringan.
“Keistimewaan ini menjadikannya ruang ideal bagi keluarga untuk berehat, menyegarkan diri, dan mengumpul semula tenaga sebelum menyambung perjalanan,” tambah Fauzi.
Kata beliau, perkara ini amat penting untuk keluarga yang melakukan perjalanan dengan anak kecil, ibu bapa warga emas atau mereka yang mungkin memerlukan waktu rehat yang lebih kerap.
“Perjalanan cuti boleh meletihkan, terutamanya bagi golongan muda dan warga emas. Berehat seketika di R&R membantu semua orang merehatkan badan, menyegarkan diri dan kekal fokus bagi memastikan perjalanan menyeronokkan untuk semua,” katanya.
Mencipta Kenangan Bermakna
Zaid dan Fauzi bersetuju bahawa perjalanan itu sendiri menjadi sebahagian daripada pengalaman percutian yang bermakna. Ibu bapa tidak memerlukan perancangan yang rumit atau perbelanjaan mahal untuk mencipta kenangan; kadangkala, interaksi yang paling ringkas adalah detik yang paling berharga.
“Ibu bapa tidak perlu merancang percutian yang mewah. Kadangkala, perjalanan yang singkat boleh menjadi kenangan keluarga yang indah jika kita benar-benar menghargainya,” tegas Zaid.
PLUS komited untuk menjadikan perjalanan pengguna lebuh raya bukan sahaja selamat tetapi menyeronokkan.
“Berhenti rehat sebentar di sepanjang R&R PLUS boleh membuat perbezaan besar dalam mengubah pemanduan jarak jauh agar menjadi pengalaman yang menyenangkan bersama keluarga,” kata Fauzi.

Mengeratkan hubungan bersama yang tersayang
Tatkala keluarga bersiap sedia untuk memulakan perjalanan percutian masing-masing, mingguminggu yang akan datang ini menjadi ruang terbaik untuk menghargai setiap detik serta memupuk ikatan kekeluargaan yang paling bermakna.
Dengan perancangan yang teliti dan amalan pemanduan selamat, orang ramai boleh menikmati musim cuti yang dipenuhi dengan detik-detik indah untuk
melakukan aktiviti kekeluargaan.
Sama ada anda bercuti di tepi pantai, di bandar atau hanya pulang ke kampung halaman, jadikan perjalanan itu sebahagian daripada kisah yang akan anda hargai untuk masa-masa yang akan datang. – UTUSAN











