TAMPIN: Seorang pemandu kenderaan pacuan empat roda nyaris maut apabila sebatang pokok tumbang lalu menimpa kenderaan dalam kejadian di Batu 1, Jalan Tampin-Seremban di sini kira-kira pukul 2.10 petang tadi.
Pemandu tersebut, S. Saravin, 21, berkata, ketika kejadian dia dalam perjalanan pulang ke rumahnya di Alor Gajah, Melaka selepas selesai menguruskan kebunnya yang terletak di Rembau.
“Kejadian berlaku cukup pantas, saya cuba menekan brek namun tidak berjaya daripada mengelak kenderaan dihempap pokok.
“Mujur sebuah lori dari arah bertentangan dapat mengelak ke bahu jalan dan tidak dihempap pokok ini. Dua pengguna jalan raya bantu saya keluar dari kenderaan kerana pintu tidak boleh dibuka pada awalnya,” katanya yang mengadu mengalami kesakitan di bahagian kepala ketika ditemui di lokasi kejadian, di sini.
Sementara itu, jurucakap Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Tampin berkata, pihaknya menerima maklumat mengenai kejadian berkenaan pada pukul 2.16 petang.
“Seramai empat orang anggota bergegas ke lokasi kejadian bagi membantu mangsa serta membersihkan halangan di laluan utama.
“Pihak kami mengambil masa hampir 30 minit bagi memotong pokok serta membersihkan jalan tersebut,” katanya.










