Pawah binatang diharuskan syarak - Pejabat Mufti Wilayah

Pawah binatang diharuskan syarak 

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Pawah binatang yang kebiasaannya diamalkan masyarakat Melayu pada hari ini adalah sama dengan konsep akad musaqah yang diharuskan syarak. 

Itu penjelasan diberikan Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan (PMWP) menerusi artikel Irshad Al-Fatwa Siri Ke-652: Hukum pawah binatang, dikeluarkan hari ini.

Menurut PMWP, bagi memastikan aktiviti tersebut bebas daripada unsur gharar, tuan lembu perlu menentukan secara jelas lembu yang mana untuk dijaga dan juga giliran anak yang akan diperolehinya dan penjaga lembu mestilah jelas.

“Oleh kerana sistem pawah tradisional yang diamalkan ini mempunyai persamaan dengan akad musaqah, maka pihak yang terlibat iaitu pemilik lembu dan tukang jaga lembu atau penternak perlu mematuhi rukun-rukun serta syarat-syarat musaqah yang dinyatakan,” katanya.

Katanya, perjanjian atau akad yang dinyatakan adalah sama seperti akad musaqah yang diharuskan syarak manakala, musaqah adalah upah yang diberikan kepada pekerja atau pengusaha dan seumpamanya daripada hasil yang diperoleh. 

Jelasnya lagi, akad musaqah menurut perbincangan ulama fiqh merujuk kepada seorang pekerja yang ditugaskan untuk menjaga dan menyiram tanaman.

Menurut PMWP juga, apabila Allah SWT memberikan rezeki kepada mereka untuk menuai hasilnya, pemilik tanaman dan pekerja membuat perjanjian bahawa pekerja akan mendapat sebahagian daripada hasil tuaian sebagai upah.

“Dari segi pembahagian dalam sistem pawah binatang ini, anak haiwan ternakan pemilik akan dibahagi sama rata antara pemilik dengan penternak. 

“Sebagai contoh, pemilik ternakan membeli seekor lembu, kemudian dia melakukan perjanjian dengan penternak sebagaimana berikut.

“Anak lembu pertama akan dapat kepada pemilik, anak lembu kedua akan dapat kepada penternak dan anak lembu ketiga akan dapat kepada pemilik dan seterusnya,” katanya.

Sistem pawah binatang adalah bentuk upah atas memelihara binatang tradisional Melayu yang masih lagi diamalkan oleh sebahagian masyarakat di Malaysia sehingga kini. 

Manakala istilah ‘memawahkan’ merujuk kepada perbuatan menyuruh orang lain mengusahakan sawah (memelihara binatang dan lain-lain) dengan membahagi dua hasilnya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya.