[PARLIMEN] SKMM, PDRM tidak kompromi isu agama - Utusan Malaysia

[PARLIMEN] SKMM, PDRM tidak kompromi isu agama

ANNUAR MUSA
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Kementerian Komunikasi dan Multimedia akan memantau mana-mana individu  yang mencetuskan kekacauan dan ancaman terhadap keamanan negara menerusi laman media sosial.

Menterinya, Tan Sri Annuar Musa berkata, untuk tujuan itu agensi kementeriannya,  Suruhanjaya Komunikasi  dan Multimedia (SKMM) bekerjasama dengan Polis Diraja Malaysia (PDRM) bagi memantau aktiviti-aktiviti yang berbaur hasutan terhadap mana-mana agama. 

“Kerajaan melalui SKMM dengan kerjasama pihak polis tidak akan berkompromi dan sentiasa komited untuk mengambil tindakan setegas-tegasnya terhadap mana-mana pihak yang mengganggu-gugat keselamatan, kestabilan dan keharmonian negara termasuklah penghinaan terhadap agama Islam dan juga mana-mana agama-agama lain.

“Mesyuarat Jawatankuasa Induk PDRM-SKMM yang diadakan sebelum ini komited mengukuhkan jalinan kerjasama bagi membanteras jenayah dan melindungi pengguna internet termasuk mengenai isu berkaitan ketenteraman awam di media sosial,” katanya dalam sesi pertanyaan menteri di Dewan Rakyat hari ini.

Beliau berkata,  menerusi pengukuhan kerjasama tersebut pemantapan interoperability bersama Pusat Tindak Balas Siasatan Siber Polis (PCIRC), PDRM juga telah dimulakan, bagi memudahkan penyelarasan dalam mengenal pasti kandungan yang boleh menggugat ketenteraman awam termasuklah kandungan berkaitan penghinaan terhadap agama, kaum, dan institusi diraja.

Menurut Annuar lagi, SKMM sedang meneliti semula kepada prosedur operasi standard (SOP) tindakan mereka untuk mengkaji di bawah ruang undang-undang sedia ada untuk tindakan–tindakan lebih proaktif lebih dilakukan.

“Saya difahamkan, SKMM sedang membuat rujukan kepada Pejabat Peguam Negara bagi membolehkan pentafsiran yang jelas di bawah undang-undang sedia ada.

“Ini membolehkan tindakan lebih tegas dan pantas tanpa kompromi dilakukan terhadap penghinaan agama Islam dan juga agama-agama yang lain,” katanya. -UTUSAN ONLINE

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN