KUALA LUMPUR: Menyedari hakikat bangunan di negara ini dilihat tidak mesra kepada golongan orang kurang upaya (OKU) terutamanya bangunan kerajaan, Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat kini dalam usaha membangunkan bandar mesra OKU.
Dalam hal ini, Menterinya, Datuk Seri Rina Harun berkata, pihaknya memerlukan sokongan dan idea dari semua pihak untuk menjayakan perancangan melaksanakan bandar mesra golongan berkenaan.
“Bukan sahaja membangunkan bangunan-bangunan tetapi kita nak ada bandar mesra OKU dan mesra warga emas. Kita juga sentiasa usahakan dengan pihak kementerian dan pihak berkaitan supaya ia diambil kira dalam setiap program pembangunan supaya bangunan itu mesra OKU, itu kita faham dan ambil maklum,” katanya bagi menjawab soalan tambahan di Dewan Rakyat, hari ini.
Terdahulu, M. Kulasegaran (PH-Ipoh Barat) meminta kerajaan menjelaskan adakah kementerian sedar yang bangunan khususnya bangunan kerajaan tidak mesra OKU dan apakah langkah yang ingin dibuat bagi menangani masalah itu.
Dalam pada itu, Rina turut memaklumkan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) telah menerima sebanyak 4,932 permohonan baharu sejak MyDaftar OKU dilancarkan pada 27 Oktober lalu.
Jelasnya, kesemua permohonan baharu itu telah menerima kad OKU digital.
“KPI (penunjuk prestasi utama) ini dirangka dengan strategi untuk memastikan kesaksamaan dan peluang kepada OKU bagi penyertaan penuh golongan itu ke dalam masyarakat.
“Kementerian juga optimis pelaksanaan inisiatif MyDaftar OKU ini dapat dilaksanakan sebagai salah satu quick win yang berimpak tinggi dan akan menyumbang kepada peningkatan pendaftaran OKU di Malaysia,” katanya.










