KUALA LUMPUR: Kementerian Pembangunan Luar Bandar sentiasa berusaha menambah baik pelaksanaan dan penyampaian Program Perumahan Rakyat Termiskin (PPRT) dari semasa ke semasa.
Timbalan Menterinya, Datuk Seri Abdul Rahman Mohamad berkata, kadar bantuan kini diberikan sehingga RM13,000 di Semenanjung dan RM15,000 di Sabah, Sarawak serta Labuan.
“Ketika ini, kadar bantuan bagi skop baik pulih PPRT adalah maksimum RM13,000 di Semenanjung dan maksimum RM15,000 di Sabah, Sarawak dan Labuan.
“Kos pembaikan rumah adalah berdasarkan kepada kos kerosakan yang dinilai oleh agensi pelaksana kementerian.
“Malah, kementerian boleh mempertimbangkan kadar bantuan yang melebihi kadar maksimum sedia ada berdasarkan kepada tahap kerosakan yang kritikal terutama yang melibatkan risiko keselamatan,” jelasnya di Dewan Rakyat hari ini.
Terdahulu, Sabri Azit (Jerai- Pas) menyoal sama ada kerajaan bercadang menambah peruntukan bagi baik pulih rumah E-Kasih daripada RM14,000 kepada RM20,000 memandangkan kenaikan kos harga barang yang semakin tinggi dan kenaikan harga yang terakhir adalah pada 2016.
Tambah Ahli Parlimen Lipis itu, kos tambahan ke atas kadar maksimum bantuan sedia ada meliputi kos pengangkutan, utiliti dan kerja-kerja tambahan.
“Ini adalah yang diperuntukkan di bawah kos ekstrem maksimum RM2,000 di Semenanjung dan RM3,000 di Sabah, Sarawak dan Labuan,” katanya.










