KUALA LUMPUR: Kementerian Kesihatan akan meningkatkan program advokasi serta memperkasakan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dalam aktiviti advokasi dan promosi kesihatan mental.
Di Dewan Rakyat hari ini, Menterinya, Khairy Jamaluddin berkata, bagi membantu NGO melaksanakan aktiviti pemerkasaan kesihatan mental bersama masyarakat, pihak kementerian menyediakan peruntukan khas yang disalurkan kepada NGO yang dikenal pasti aktif bergiat dalam aktiviti kesihatan mental di peringkat komuniti.
“Kriteria kelayakan pemberian peruntukan kepada NGO ini termasuklah bergerak aktif dalam melaksanakan aktiviti pemerkasaan kesihatan mental termasuk aktiviti promosi, advokasi serta perkhidmatan sokongan emosi dan kaunseling.
“Kementerian Kesihatan melaksanakan aktiviti pemantauan secara berterusan melalui pelaporan aktiviti oleh NGO kepada pihak kementerian bagi memastikan peruntukan yang diagihkan digunakan sebaiknya,” katanya dalam ucapan penggulungan Menteri Kesihatan Perbahasan Peringkat Dasar Bajet 2020.
Dalam pembentangan Bajet 2022, peruntukan yang disediakan bagi tahun 2022 adalah sebanyak RM70 juta yang merupakan suatu peningkatan berbanding peruntukan pada 2021 sebanyak RM24.6 juta.
Daripada RM70 juta itu, RM40 juta disalurkan kepada Kementerian Kesihatan manakala selebihnya RM30 juta akan disalurkan kepada Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat serta Kementerian Pengajian Tinggi.










