KUALA LUMPUR : Pelaksanaan Undi 18 dan pendaftaran pemilih automatik dibuat sebelum 31 Disember ini.
Menjelaskan perkara itu, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang), Datuk Seri Dr. Wan Junaidi Tuanku Jaafar berkata, ia adalah berdasarkan keputusan Jemaah Menteri serta Mahkamah Tinggi Kuching pada 3 September lalu.
“Bagi Undi 18 kita tidak ada pilihan, rang undang-undang ini mesti dilaksanakan sebelum tamatnya persidangan ini. Oleh kerana hakim telah menetapkan, kalau kita tidak melaksanakan maknanya perdana menteri dan kerajaan Malaysia akan (dianggap) menghina mahkamah, ” katanya di Dewan Rakyat hari ini.
Terdahulu, Datuk Seri Anwar Ibrahim (PH-Port Dickson) meminta kerajaan menjelaskan berhubung perkembangan terkini Memorandum Persefahaman (MoU) Mengenai Transformasi dan Kestabilan Politik antara Kerajaan Persekutuan dengan Pakatan Harapan (PH) yang ditandatangani pada 13 September lalu. – UTUSAN ONLINE