[PARLIMEN] Malaysia tiada masalah dengan Afghanistan - Utusan Malaysia

[PARLIMEN] Malaysia tiada masalah dengan Afghanistan

China
KAMARUDIN JAFFAR
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Kerajaan Malaysia tidak mempunyai sebarang masalah untuk mengekalkan hubungan diplomatik dengan kerajaan Afghanistan malah mengusahakan supaya negara itu lebih terbuka dalam memelihara hak asasi manusia.

Timbalan Menteri Luar, Datuk Kamarudin Jaffar berkata, kerajaan Malaysia sentiasa komited dalam memastikan hubungan diplomatik Malaysia dan Afghanistan dapat dikekalkan.

“Berkaitan dengan Taliban, ada hubungan yang kita lakukan menerusi saluran-saluran tertentu misalnya pada September lalu, rombongan daripada Global Peace Mission telah pun melawat Afghanistan dan menemui pimpinan-pimpinan Taliban.

“Begitu juga melalui kedutaan di Qatar, kita mempunyai saluran perhubungan dengan pemerintah Afghanistan sekarang bagi memastikan mereka boleh mewujudkan negara yang memberi hak asasi kepada semua rakyatnya dalam sudut demokrasi dan hak-hak wanita,” jelasnya kepada soalan tambahan di Parlimen hari ini.

Terdahulu, Datuk Hasanuddin Mohd Yunus [Hulu Langat-Amanah] bertanya mengenai usaha kerajaan Malaysia untuk memastikan stigma yang diwujudkan terhadap Taliban dalam kalangan rakyat Malaysia boleh dikawal.

Dalam sesi yang sama, Ahmad Fadhli Shaari [Pasir Mas- Pas] mengajukan soalan tambahan berkaitan pengiktirafan Malaysia terhadap kerajaan Afghanistan susulan tindakan beberapa negara lain yang didakwa bakal berbuat demikian.

Kamarudin menjelaskan Malaysia tidak mempunyai sebarang masalah berkaitan kedudukan kedutaan Malaysia dan Afghanistan memandangkan kedua-dua negara sudah pun menempatkan kedutaan masing-masing tanpa pernah menghentikan sebarang hubungan diplomatik.

“Untuk makluman, Malaysia memang ada kedutaan dalam hubungan diplomatik sejak 1962 lagi dengan Afghanistan melalui kedutaan menerusi Pesuruhjaya Tinggi di New Delhi, India yang ia ditauliahkan juga kepada negara Afghanistan.

“Begitu juga dengan kedutaan mereka di Malaysia yang telah ada sejak 1980 dan kedutaan mereka di Kuala Lumpur juga menerima bantuan kerajaan Malaysia,” katanya.-UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya.