KUALA LUMPUR: Pengenalan kepada telekomunikasi 5G tidak bermakna berlaku peralihan teknologi kepada 4G memandangkan kerajaan masih memulakan percubaan dalam perkhidmatan tersebut.
Menteri Komunikasi dan Multimedia, Tan Sri Annuar Musa berkata, teknologi 5G adalah suatu pendekatan ke hadapan dalan telekomunikasi.
“Perkhidmatan 5G lebih canggih, lebih moden dan lebih berteknologi tinggi seperti kecerdasan buatan (AI), kenderaan autonomous, teknologi dron, teleperubatan, Internet Segala Benda (IoT) dan sebagainya dan tidak ada tempoh masa untuk peralihan itu walaupun tempoh percubaan telah dipecepatkan dalam tempoh dua tahun.
“Pada awalnya, kerajaan merancang untuk percubaan 5G kepada pengguna pada tahun 2023 tetapi sejak kita melancarkan MyDigital pada awal tahun ini, kerajaan membuat keputusan untuk mempercepatkanya tahun ini.
“Ini akan dijalankan dalam tempoh tiga tahun sehingga 2024 untuk mencapai 80 peratus rangkaian bagi kawasan-kawasan berpenduduk,” jelasnya di Dewan Rakyat hari ini.
Terdahulu, Datuk Dr. Xavier Jayakumar Arulanandram [Kuala Langat-Bebas] minta penjelasan pelan transformasi teknologi 5G yang mempunyai keupayaan yang nyata berbeza berbanding teknologi sebelumnya.
Dalam soalan yang sama, beliau minta kementerian itu untuk memberitahu tindakan atau strategi yang diambil untuk menangani peralihan perubahan teknologi 5G serta jangka masa peralihan tersebut.
Tambah Ahli Parlimen Ketereh itu, perjalanan teknologi 5G di Malaysia akan bermula apabila Malaysia telah berjaya melaksanakan 71 kes projek demonstrasi.
“Projek demonstrasi bermula pada kira-kira akhir tahun 2019 hingga penghujung tahun 2020, di 50 tapak merentasi tujuh buah negeri, iaitu di Kedah, Perak, Pahang, Pulau Pinang, Selangor, Terengganu dan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur.
“Projek demosntrasi ini telah memberi tumpuan kepada sembilan sektor industri iaitu sektor Bandar Pintar (Smart City), sektor hiburan dan media, sektor minyak dan gas, sektor pelancongan dan sektor pembuatan dan pemprosesan.
“Sektor lain termasuklah sektor pendidikan, pengangkutan pintar, penjagaan kesihatan digital dan pertanian melalui sokongan dan komitmen daripada penggiat industri telekomunikasi dan multimedia,” katanya.- UTUSAN ONLINE