Operasi mencari nelayan hilang ketika memancing diteruskan - Utusan Malaysia

Operasi mencari nelayan hilang ketika memancing diteruskan

Operasi mencari dan menyelamat bagi mengesan nelayan yang hilang ketika memancing berhampiran Pulau Dinawan Kinarut di Papar hari ini.-IHSAN Maritim Malaysia.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KOTA KINABALU: Hasrat seorang lelaki turun ke laut bagi tujuan memancing ikan berakhir sebagai tragedi apabila mangsa dilaporkan hilang berhampiran Pulau Dinawan, Kinarut semalam.

Dalam kejadian kira-kira pukul 10.59 malam itu, orang awam melaporkan tentang kehilangan seorang lelaki yang keluar memancing. Bot pam dinaiki mangsa Halib Bidin,33, ditemukan berhampiran pulau berkenaan.

Pengarah Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Sabah dan Wilayah Persekutuan Labuan, Laksamana Pertama Maritim Datuk Mohd. Rosli Abdullah berkata, pihaknya melalui Pusat Penyelamat Maritim (MRSC) mengaktifkan operasi mencari dan menyelamat pada pukul 12 tengah malam tadi susulan aduan awam mengenai kehilangan seorang nelayan.

Beliau berkata, mangsa dilaporkan keluar ke laut bersendirian dengan menaiki bot pam untuk memancing ikan pada pukul 2 petang semalam.

“Mangsa dilaporkan hilang setelah bot dinaiki mangsa dijumpai oleh orang kampung di sekitar Pulau Dinawan petang semalam.

“Sehingga kini mangsa belum ditemukan dan usaha mengesan mangsa diteruskan dengan koordinasi Maritim Malaysia yang melibatkan atur gerak bot kilat 39 ke lokasi pencarian serta dibantu aset daripada agensi mencari dan menyelamat lain seperti Polis Diraja Malaysia (PDRM), Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) dan Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM),” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Mohd. Rosli berkata, operasi mencari dan menyelamat yang memasuki hari kedua diperluaskan kepada 52 batu nautika persegi.

Setakat ini masih belum menemui tanda-tanda atau petunjuk positif berkaitan mangsa di lokasi kejadian.

Justeru, Maritim Malaysia menyeru komuniti maritim untuk terus meningkatkan keselamatan semasa melakukan aktiviti di laut seperti peka dengan keadaan cuaca semasa, memakai jaket keselamatan serta memastikan keadaan bot dalam keadaan baik.

Di samping itu, mereka perlu membawa alat pengesan lokasi (PLB) serta maklumkan kepada kaum keluarga atau sahabat tentang lokasi dan tujuan keluar ke lautan.

Tambah beliau, komuniti maritime juga diminta untuk melaporkan sebarang kejadian kecemasan, aktiviti penyeludupan dan bom ikan yang berlaku di persekitaran perairan daerah ini kepada Pusat Operasi Maritim Negeri Sabah di talian 088-387774 atau 999 (MERS). UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya