SEREMBAN: Yayasan Sofa Negeri Sembilan (Yayasan Sofa) kini bekerjasama dengan selebriti terkenal tanah air, Datuk Nora Ariffin bagi menyokong usaha memartabatkan pembangunan institusi tahfiz di negara ini.
Yang Dipertua Yayasan Sofa, Mohd. Hanif Hamid berkata, pemilihan Nora atau nama sebenarnya Wan Noraafiza Ariffin yang merupakan seorang selebriti dikenali itu bersesuaian dengan yayasan selain membawa imej muslimah dan aktif menghasilkan lagu-lagu berunsur Islamik.
“Kriteria Datuk Nora sendiri yang mempunyai sifat keibuan serta mempunyai pengalaman sendiri menghantar anak di pusat tahfiz menguatkan lagi kerjasama ini.
“Selain itu, dari segi pengikutnya cenderung ke arah keagamaan, beliau juga dilihat lebih banyak menerbitkan lagu ketuhanan termasuk rancangan animasi berjudul ‘Ummi‘ yang banyak dinyanyikan oleh anak-anak terutama di tadika,” katanya selepas majlis menandatangani memorandum persefahaman (MoU) antara Yayasan Sofa dan Datuk Nora di sini hari ini.
Menurut Mohd. Hanif, kredibiliti Datuk Nora sebagai ibu dan usahawan bertepatan dengan misi Yayasan Sofa menerusi Program Mencari 50,000 Pencinta Rasulullah bagi mengajak masyarakat supaya sama-sama mencari saham akhirat bagi pembinaan Kompleks Islam As-Sofa Mantau, di sini.
Sementara itu, Nora berkata, kerjasama itu merupakan satu anjakan paradigma kepada dirinya untuk berhijrah ke arah lebih baik selain memperbaiki diri.
“Saya bukanlah ustazah atau pakar motivasi, ini merupakan tanggungjawab besar kepada diri saya untuk sama-sama mempromosikan dan memantapkan institusi tahfiz dan turath Yayasan Sofa.
“Saya melihat Yayasan Sofa sebagai sebuah pondok moden yang serba-serbi lengkap dan patut menjadi contoh kepada maahad tahfiz lain untuk memastikan pelajarnya mendapat pendidikan seimbang dunia akhirat,” katanya.