PETALING JAYA: Polis menahan seorang pemandu yang didakwa membuat provokasi dalam video tular sehingga membahayakan pengguna jalan raya.
Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Kuala Lumpur, Asisten Komisioner Sarifudin Mohd. Salleh berkata, pihaknya mendapati kejadian dipercayai berlaku kira-kira pukul 11.30 pagi di Jalan Jinjang Setia di sini pada Sabtu lalu.
Katanya, siasatan awal mendapati kejadian melibatkan Toyota Corolla Altis dengan Perodua Myvi yang bergerak perlahan di hadapannya di lorong paling kanan.
“Melihat pada keadaan itu, pemandu Toyota Altis itu mengubah laluan ke lorong tengah untuk memotong Perodua Myvi namun pada masa sama ia mengubah laluan ke lorong tengah.
“Tindakan Myvi itu telah membuatkan pemandu Altis marah dan memotong serta masuk semula ke lorong Myvi lalu membrek kecemasan beberapa kali dengan sengaja selama satu minit,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
Menurut Sarifudin, susulan itu, pemandu itu ditahan semalam kira-kira pukul 5.50 petang.
Jelas beliau, pihaknya turut meminta pemandu Perodua Myvi atau pemilik akaun Twitter Non Manjoi87 untuk tampil ke Balai Polis Trafik Kuala Lumpur bagi membantu siasatan berhubung kejadian itu.
“Kes disiasat mengikut Seksyen 42(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 kerana memandu secara melulu dan berbahaya.
“Orang ramai mempunyai sebarang maklumat atau pertanyaan boleh menghubungi Balai Polis Trafik Tun H.S Lee di talian 03- 20719999 atau mana-mana balai polis berhampiran,” katanya.










