PUTRAJAYA: Menteri Luar, Datuk Saifuddin Abdullah dijadualkan menerima kunjungan hormat rakan sejawatan dari Australia, Senator Marise Payne bersempena lawatan kerjanya ke negara ini.
Menurut kenyataan Wisma Putra, ia merupakan julung kali beliau datang ke Malaysia sejak dilantik sebagai Menteri Luar Australia pada 2018 di bawah Perdana Menteri, Scott Morrison.

“Lawatan selama tiga hari sehingga Ahad ini bakal menyaksikan kedua-dua menteri akan mempengerusikan secara bersama program tahunan,” kata Kementerian Luar di sini hari ini.
Ia melibatkan Mesyuarat Tahunan Menteri-Menteri Luar Negeri (AFMM) yang keempat antara Malaysia dan Australia pada esok dan mengukuhkan lagi hubungan dua hala sedia ada.
AFMM edisi kali ini merupakan pertama diadakan selepas Perdana Menteri Malaysia dan Australia melancarkan inisiatif Kerjasama Komprehensif Strategik (CSP) pada 27 Januari lalu.
Semasa di negara ini, Payne, 57, turut mengadakan perjumpaan dengan Menteri Kanan Pertahanan, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein dan Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin.
Malaysia dan Australia merupakan rakan strategik yang rapat dan penting malahan lawatan beliau ini memberi peluang kedua-dua negara mengeratkan jalinan dalam pelbagai bidang.
Ini terutamanya di bawah kerangka CSP yang juga meliputi aspek perdagangan, pelaburan, pendidikan, pelancongan, pertahanan, hubungan rakyat dan kerjasama pasca Covid-19.
Kedua-dua negara ialah anggota Pertubuhan Bangsa Bersatu, Komanwel Britain, Peraturan Pertahanan Lima Kuasa (FPDA) dan Forum Kerjasama Ekonomi Asia Pasifik (APEC).
“Lawatan beliau ini turut dilaksanakan dengan mematuhi sepenuhnya segala prosedur operasi standard bagi pengekangan penularan Covid-19 di Malaysia,’ jelas Wisma Putra lagi.- UTUSAN ONLINE










